3 sekeluarga rentung rumah terbakar di Ipoh

Sepasang suami isteri dan cucu mereka maut dalam kebakaran sebuah rumah teres dua tingkat di Persiaran Desa Tambun 4, Taman Desa Tambun, di sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sayani Saidon, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tambun serta Ipoh bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan 4 pagi tadi.
Beliau berkata, mangsa dikenali Raja Ahmad Raja Ali, 70, Zaitun Mohamed, 64, dan Nik Abdurrahman Azimin Harith Helal, 18, manakala seorang lagi mangsa Raja Ikhwan Hadi Raja Ahmad, 47, selamat kerana dipercayai tidur di ruang parkir rumah itu.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran rumah teres dua tingkat jenis kelas A berkeluasan 20 x 70 kaki dan terbakar kira-kira 70%,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, warga emas lelaki itu ditemui dalam bilik air tingkat bawah, manakala dua lagi mangsa dijumpai di tingkat atas.
Berdasarkan maklumat diterima, beliau berkata, semua mangsa mempunyai pertalian keluarga dan rumah itu dihuni enam orang, tetapi hanya empat orang berada dalam rumah ketika kebakaran.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.