The Jerusalem PostTerror cells forming in Negev Bedouin communities in 'concering phenomenon,' Shin Bet chief warnESPN DeportesYamamoto, Kiké y Freeman ponen a Dodgers en antesala de SCLNPunchLagos opens toll-free line to report fake productsESPNFollow live: Padres take on Brewers in NLDS Game 3CNN TürkSON DAKİKA | Ankara’da uygulama noktasında silahlı saldırı: 1 polisimiz şehit oldu!한겨레한국바둑리그, 하나은행과 타이틀 스폰서 계약South China Morning PostChinese woman snaps up nearly 200 parking spaces to flip to neighbours for profitUOLAustrália anuncia fundos para infraestrutura no Pacífico na 'pre-COP' de Fiji東洋経済オンラインエリソンCEOが率いる巨大メディア「スカイダンス」誕生、CNNとCBSは独立した編集体制を維持する見通し | 政治・経済・投資 | 東洋経済オンラインZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDFDeadline‘Dancing With The Stars’ Recap: Lots Of Breakthroughs On Mariah Carey Night Stiffen Competitionسكاي نيوز عربيةانفجارات تهز كييف وتحذيرات من هجوم روسي واسع
The Daily Newsstand · Free, Always
Wednesday, October 7, 2026

Antara ‘sakau’ dan F1 – Malaysia perlu cerita lebih besar

Translate

Hampir setiap hari kita mendengar perkataan ‘sakau’ bergema di pentas politik, ucapan rasmi hingga ke media sosial. Pada masa sama, kejayaan berskala antarabangsa seperti Formula 1 (F1) seketika mampu mengubah perbualan daripada apa yang tidak kena dengan negara kepada apa yang Malaysia masih mampu lakukan dengan baik. Kedua-duanya kelihatan tidak berkaitan, tetapi membawa kita kepada persoalan yang sama iaitu cerita apakah yang sedang kita bina tentang Malaysia?

Tidak dinafikan, ‘sakau’ ialah bahasa yang tajam, mudah difahami dan tepat menyasar rasuah serta ketirisan. Tetapi apabila terlalu kerap diulang, bahasa yang tajam juga boleh kehilangan sengatnya. Lebih parah apabila integriti menjadi modal sindiran sehingga wacana tatakelola mengecil kepada siapa lebih sakau’ dan siapa lebih bersih. Rasuah terlalu serius untuk sekadar menjadi slogan. Integriti pula terlalu penting untuk dijadikan senjata politik.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim wajar diberikan kredit kerana meletakkan rasuah sebagai isu besar yang sukar lagi dinormalisasikan. Istilah ‘sakau’ berjaya membawa mesej itu kepada masyarakat secara meluas. Ketegasan ini perlu diteruskan dan dikongsi seluruh jajaran Kabinet. Namun, bagi sebuah pentadbiran yang membawa aspirasi reformasi, ukuran kejayaan perlu bergerak lebih jauh daripada kekuatan bahasa antirasuah. Persoalannya bukan lagi sekadar ‘siapa yang menyakau?’, tetapi ‘apakah yang telah berubah dalam sistem sehingga semakin sukar untuk sesiapa pun menyakau?’

Daripada retorik kepada reformasi institusi

Pada fasa awal pentadbiran, rakyat mahu melihat komitmen memerangi rasuah. Kini persoalannya perlu bergerak kepada perubahan sistemik. Di sinilah bezanya antara retorik antirasuah dengan reformasi institusi. Rakyat sudah tahu rasuah itu buruk. Yang mereka perlukan ialah bukti bahawa kerajaan sedang membina sistem yang menjadikannya semakin sukar dilakukan. Jangan jadikan ‘sakau’ sebagai mesej utama. Jadikan penutupan ruang untuk menyakau sebagai mesejnya.

Rasuah moden bukan lagi sekadar wang dalam sampul di bawah meja. Ia boleh bergerak melalui manipulasi perolehan, kartel tender, orang tengah, konflik kepentingan, syarikat proksi serta jaringan antara kuasa ekonomi dan pentadbiran. Pendedahan mengenai apa yang disebut sebagai ‘mafia korporat’ menunjukkan mengapa rasuah perlu dilihat sebagai persoalan sistem, bukan sekadar individu. Menangkap dan mendakwa pelaku penting. Tetapi memecahkan ekosistem yang membolehkan mereka beroperasi jauh lebih penting.

Pengalaman Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) memperlihatkan realiti ini. Apabila prosedur diperketat dan kepentingan lama diganggu, tentangan boleh muncul. Ketua Pengarahnya, Mohd Shuhaily Mohd Zain, pernah merumuskan realiti reformasi: “Untuk mengubah sesuatu, ia mempunyai harga”. Inilah political economy of corruption.

Setiap ketirisan yang ditutup menyebabkan seseorang kehilangan manfaat. Setiap kartel yang dipecahkan memutus keuntungan pihak tertentu. Justeru, ukuran kesungguhan bukan pada lantangnya laungan ‘sakau, tetapi sejauh mana sistem berani menutup ruang penyelewengan dan melindungi mereka yang berani menutupnya.

Jadikan reformasi terlihat dan terukur

Kerajaan sebenarnya mempunyai pelbagai agenda reformasi pentadbiran dan perkhidmatan awam. Persoalannya ialah sejauh mana rakyat dapat melihat, memahami dan mengukur hasilnya. Kita tidak kekurangan jawatankuasa, pelan atau inisiatif. Apa yang diperlukan ialah menjadikan reformasi itu terlihat dan terukur.

Misalnya, mengapa tidak diwujudkan satu dashboard reformasi institusi yang mudah diakses rakyat? Tunjukkan kementerian yang terlibat, sasaran yang ditetapkan, birokrasi yang telah dihapuskan, proses perolehan yang diperkemas, ruang budi bicara yang dikurangkan dan perlindungan kepada pemberi maklumat. Kemudian ceritakan kemajuan itu melalui media, podcast dan town hall. Terangkan bukan sahaja siapa yang ditangkap, tetapi apa yang telah diperbaiki. Itu jauh lebih meyakinkan daripada mengulang retorik yang akhirnya kehilangan kesan.

Apabila agenda integriti terlalu dipolitikkan – diraikan apabila lawan disiasat tetapi dipersoalkan apabila rakan berdepan perkara sama – agenda antirasuah boleh kehilangan legitimasi moralnya sebagai agenda bersama negara. Memerangi rasuah mesti diteruskan, tetapi ketegasan perlu berjalan bersama keadilan dan konsistensi. Jika penguatkuasaan dilihat hanya tertumpu pada sudut atau kelompok tertentu, satu pihak menjadi defensif sementara pihak lain melihatnya sebagai ruang untuk menyerang atau membalas. Akhirnya kita terperangkap dalam persoalan yang tidak pernah selesai iaitu mengapa yang ini dikejar tetapi yang itu tidak? Mengapa sekarang, bukan dahulu? Mengapa dia, bukan mereka?

Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan. Perang terhadap rasuah hanya menjadi agenda nasional apabila prinsip yang sama terpakai kepada kawan dan lawan, kerajaan dan pembangkang. Reformasi bukan sekadar menggantikan orang di dalam sistem. Reformasi ialah mengubah sistem supaya sesiapa pun yang berada di dalamnya mempunyai ruang yang semakin kecil untuk menyalahgunakannya.

Bina negara, bina keyakinan

Di sinilah state-building perlu bersekali dengan nation-building. State-building membina institusi, undang-undang dan tatakelola yang mengecilkan ruang penyelewengan. Nation-building pula membina rasa tujuan, keyakinan dan masa depan bersama. Sebuah rumah boleh dibersihkan sehingga berkilat. Tetapi kebersihan semata-mata belum menjadikannya rumah yang sejahtera. Begitulah negara. Menutup ketirisan perlu seiring dengan mencipta kemakmuran. Memerangi kartel mesti berjalan bersama pembaikan pendidikan, produktiviti, teknologi dan mobiliti sosial.

Tetapi nation-building juga memerlukan sesuatu yang lebih halus – rasa bangga dan keyakinan kolektif bahawa negara sedang bergerak ke hadapan. Di sinilah F1 memberikan satu pelajaran menarik. F1 tentu bukan ukuran kemajuan sesebuah negara. Tetapi keterujaan yang tercipta menunjukkan bahawa rakyat juga memerlukan sebab untuk berasa bangga – melihat Malaysia mampu melakukan sesuatu dengan baik dan mendapat perhatian dunia.

Kejayaan seperti ini perlu dibesarkan secara strategik. Bukan propaganda atau pujian kosong, tetapi mengangkat apa yang benar-benar berjaya dan menghubungkannya dengan ekonomi, teknologi, pelancongan, pekerjaan serta kemampuan negara. Ini kerana dalam pembinaan bangsa, apa yang kerap kita ulang turut membentuk apa yang akhirnya rakyat percaya tentang negaranya.

Jika setiap hari cerita yang dibesarkan ialah ‘sakau’, ketirisan dan kegagalan, jangan terkejut jika rakyat akhirnya melihat Malaysia terutama melalui cerita tentang kerosakan. Sebaliknya, apabila kejayaan dan pembaharuan turut diberikan ruang, kita sedang membina sesuatu yang sama penting -keyakinan nasional.Ini bukan bermakna menutup masalah. Negara matang mesti mampu melakukan kedua-duanya iaitu keras terhadap apa yang merosakkannya dan lantang meraikan apa yang membinanya.

Dalam konteks ini, memastikan masa depan negara tidak dicuri ialah state-building. Membina keyakinan bahawa masa depan itu berbaloi diperjuangkan bersama ialah nation-building. Kita sudah mempunyai bahasa yang kuat tentang apa yang mahu ditentang rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa. Sekarang kita memerlukan bahasa yang sama kuat tentang apa yang mahu dibina. Kita mempunyai Madani dan pelbagai agenda pembangunan. Tetapi dokumen dan dasar belum semestinya melahirkan imaginasi nasional yang dirasakan bersama.

Dalam lipatan sejarah, seorang nakhoda kapal tidak dikenang kerana paling kuat melaungkan bahawa kapalnya sedang bocor. Dia dikenang kerana berjaya menambal kebocoran tersebut dan memimpin kapalnya menuju ke destinasi.

Rumusannya, perang terhadap rasuah memberitahu kita apa yang tidak mahu kita warisi. Reformasi institusi pula menentukan apa yang perlu kita perbaiki. Tetapi nation-building menuntut sesuatu yang lebih besar iaitu gambaran tentang Malaysia yang mahu kita bina bersama. Malaysia bukan sahaja perlu menjadi semakin sukar untuk ‘disakau’, tetapi semakin bernilai untuk dibina, semakin membanggakan untuk dimiliki, dan semakin diyakini untuk diwariskan kepada generasi seterusnya.

Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.