Kanak-kanak terkesan akibat politik kemasyarakatan

Seorang cendekiawan bebas dan bekas timbalan menteri mengaitkan peningkatan sikap tidak toleran terhadap agama dalam kalangan murid sekolah dengan trend politik kemasyarakatan berlaku kini.
Cendekiawan Sharifah Munirah Alatas dan bekas timbalan menteri perpaduan, Ti Lian Ker, bersetuju ‘tidak mengejutkan’ apabila Ahli Parlimen mula membangkitkan kebimbangan mengenai trend berkenaan.
Munirah berkata, keengganan murid Islam duduk di sebelah rakan sekelas bukan Islam, mungkin terlihat tahap baru toleransi rendah dalam masyarakat.
Katanya, etnosentrisme, nativisme, tradisionalisme, dan kulturalisme telah berkembang dalam kalangan kepimpinan politik Melayu-Islam negara ini lebih 50 tahun.

Munirah kecewa kerana etnosentrisme, nativisme, dan tradisionalisme mula meresap dalam masyarakat.
“Apabila seorang Ahli Parlimen membangkitkan masalah tiada toleransi dan polarisasi agama serta etnik yang semakin meningkat dalam bilik darjah, saya menyalahkan wacana politik berbaur etnik dan agama yang kita saksikan saban hari sejak puluhan tahun,” katanya kepada FMT.
Munirah berkata, sikap sedemikian boleh dibasmi secara berkesan sekiranya ada iltizam politik.
“Tetapi, kita semua tahu bahawa segi politik (parti politik) mahu mengekalkan ‘mentaliti terkepung’ dalam masyarakat. Ia menjamin ‘daya tahan politik’.”
Khamis lalu, Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin membangkitkan kebimbangan sikap tidak toleran dalam kalangan kanak-kanak, sambil memetik kes murid sekolah rendah enggan duduk bersama rakan sekelas tidak seagama.
Katanya di Dewan Rakyat, ada kanak-kanak tidak mahu duduk bersebelahan rakan lain kerana rakan memakai salib atau makan babi.

Ti, yang pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri perpaduan dari 2020 hingga 2021, berkata beliau tidak terkejut apa disebut Willie.
Beliau berkata ‘pasti ada sesuatu sangat tidak kena’ sekiranya kanak-kanak berkeras mahu duduk berasingan daripada rakan sekelas berlainan agama. Beliau berkata, pada 1970-an, tempat duduk murid telah ditetapkan dan tidak pernah timbul isu siapa duduk di sebelah.
Seperti Munirah, Ti turut menyalahkan politik kemasyarakatan menyumbang perpecahan tersebut.
“Politik identiti, serta dakyah dan radikalisasi tentera siber yang diupah parti politik memainkan peranan menyemai sikap tidak toleran dalam kalangan rakyat, di mana mereka kemudiannya menurunkan fahaman itu kepada anak-anak.”
Lebih memburukkan keadaan, tentera siber tidak bertanggungjawab ini sering menjaja naratif berbaur provokasi, seolah-olah kebal undang-undang, kata Ti.
“Kumpulan ini akan melihat setiap insiden menerusi sudut pandang kaum dan melaga-lagakan dua kaum,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.