Yayasan Hind Rajab fail aduan jenayah di UK terhadap tentera Israel

Yayasan Hind Rajab (HRF) memfailkan aduan jenayah kepada pihak berkuasa United Kingdom (UK) terhadap seorang anggota tentera Israel atas dakwaan terbabit jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid di Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
Yayasan itu dalam kenyataan pada Ahad memaklumkan Lidor Dafna, anggota simpanan yang bertugas sebagai pengendali jentolak berperisai D9 dalam Batalion Kejuruteraan Tempur ke-603, Briged Berperisai ketujuh, terbabit operasi ketenteraan di Gaza dan Lubnan sejak November 2023.
HRF berkata, pihaknya mempunyai alasan untuk percaya Dafna kini berada di UK.
Aduan itu tertumpu kepada pemusnahan Great Ocean Mills, kemudahan perindustrian pengeluaran tepung di Koridor Morag antara Khan Younis dan Rafah, pada 25 Mei 2025.
Menurutnya, rakaman yang dimuat naik Dafna di media sosial menunjukkan sebuah jentolak merobohkan silo penyimpanan gandum di kemudahan berkenaan.
HRF mendakwa tentera Israel kemudiannya menduduki bangunan itu dan menjadikannya pangkalan tentera, selain dilaporkan menjadi tempat untuk melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin mendapatkan bantuan makanan di sebuah pusat pengagihan Yayasan Kemanusiaan Gaza berhampiran.
Katanya, kemudahan itu dimusnahkan ketika Israel menyekat kemasukan makanan, bahan api dan ubat-ubatan ke Gaza, dengan harga tepung dilaporkan mencecah USD70 sekilogram, manakala setengah juta penduduk berdepan kebuluran.
Ia turut mendakwa Batalion ke-603 melaksanakan lebih 60 operasi perobohan bangunan, termasuk masjid dan blok kediaman, selain menyumbang kepada kemusnahan meluas infrastruktur awam serta tanah pertanian semasa pembinaan Koridor Morag.
HRF berkata, siasatannya menunjukkan Dafna mungkin memikul tanggungjawab jenayah atas pemusnahan harta benda besar-besaran tanpa keperluan ketenteraan, serangan yang disengajakan terhadap objek awam, kebuluran orang awam sebagai kaedah peperangan, pembasmian sebagai jenayah terhadap kemanusiaan serta genosid.
Justeru, HRF menggesa pihak berkuasa Britain membuka siasatan serta menangkap dan menyoal siasat Dafna dengan merujuk Artikel 146 Konvensyen Geneva Keempat, yang mewajibkan negara mencari individu didakwa melakukan pelanggaran berat terhadap konvensyen itu.
Ketua Pengarah HRF, Dyab Abou Jahjah, berkata Dafna merakam tindakannya sendiri ketika memusnahkan antara kemudahan pengeluaran makanan terakhir masih beroperasi untuk penduduk berdepan kebuluran, sebelum memuat naik rakaman itu ke media sosial seolah-olah sebagai trofi.
“United Kingdom kini berdepan ujian mudah: adakah ia akan menangkap dan mendakwa lelaki masih berkhidmat sebagai anggota tentera yang melakukan jenayah sedemikian atau sekali lagi membenarkan pelaku genosid bergerak bebas di negara itu dan kembali ke Gaza untuk meneruskan jenayahnya?”
Walaupun gencatan senjata berkuat kuasa 10 Okt 2025, tentera Israel terus melancarkan serangan di Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya 1,551 rakyat Palestin dan mencederakan 5,573 mangsa, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Sejak Oktober 2023, lebih 74,000 rakyat Palestin terbunuh dan lebih 175,000 cedera akibat serangan Israel di Gaza, manakala kira-kira 90% infrastruktur awam di wilayah itu musnah.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.