Isu jerebu: Sarawak digesa ambil tindakan guaman terhadap Indonesia

Kerajaan Sarawak digesa mengambil tindakan undang-undang terhadap Indonesia berhubung isu jerebu rentas sempadan yang berulang kali menjejaskan negeri itu.
Aktivis Peter John Jaban berkata, kerajaan negeri harus menuntut remedi sewajarnya melalui saluran undang-undang pada peringkat domestik, serantau mahupun antarabangsa jika terdapat bukti kukuh bagi menyokong langkah itu.
“Sarawak tidak boleh terus kekal sebagai mangsa pasif sedangkan rakyatnya terus menanggung kemudaratan yang sebenarnya boleh dielakkan,” katanya dalam kenyataan.
Peter berkata, kerajaan persekutuan dan Sarawak juga wajar mempertimbangkan tindakan guaman terhadap syarikat atau mana-mana pihak yang bertanggungjawab mencetuskan kebakaran hutan dan tanah jika wujud bukti mencukupi mengaitkan mereka.

Beliau turut menggesa agar penilaian bebas dijalankan bagi menilai kerugian serta kerosakan yang dialami Sarawak, merangkumi impak terhadap kesihatan awam, alam sekitar, ekonomi dan sektor pendidikan.
Penilaian tersebut, katanya, perlu disusuli usaha menuntut pampasan serta bentuk pampasan lain bagi komuniti serta sektor terjejas yang berupaya membuktikan kerugian akibat krisis jerebu berulang itu.
Peter turut menggesa Putrajaya mengaktifkan mekanisme di bawah Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, selain menyuarakan kebimbangan Malaysia secara rasmi kepada Indonesia.
Katanya, kedua-dua negara harus mewujudkan mekanisme yang jelas dan bertanggungjawab bagi memastikan isu jerebu tidak terus berulang.
Beliau berkata demikian susulan cadangan Majlis Daerah Serian agar Indonesia membayar pampasan kepada kerajaan Sarawak atas kerugian yang dialami akibat bencana jerebu berkenaan.
Pengerusinya, Peter Minos, bulan lepas memaklumkan jerebu telah menjejaskan kesihatan awam dan ekonomi, merujuk masalah kesihatan, penutupan sekolah serta kehilangan hasil pelancongan.
Minos kemudian turut menggariskan kerugian lanjutan apabila keadaan jerebu semakin buruk di Serian, termasuk kos rawatan perubatan, pembatalan pelbagai acara dan gangguan terhadap pekerjaan.
Serian sebelum ini dikenakan darurat dari 4 hingga 7 Sept berikutan keadaan jerebu yang mencapai paras berbahaya. Asap tebal akibat kebakaran hutan di wilayah jiran, Kalimantan, telah melonjakkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian melepasi angka 500, jauh melangkaui paras bahaya 300.
Sebanyak 28 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU tidak sihat setakat 3 petang hari ini. Serian bersama dua lagi kawasan di Sarawak, iaitu Samarahan dan Kuching, masing-masing mencatat bacaan IPU 174, 169 dan 166.
Kawasan lain di Sarawak yang turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat termasuk Sri Aman (157), Bintulu (155) dan Miri (153).
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.