ESPN DeportesRéferi mexicana debutará en Conferencia Big Tenוואלהטראמפ בדרום קרוליינה: "אנחנו יכולים להשיג עסקה בכל זמן שנרצה"The Jerusalem PostTrump to meet Gulf leaders for Iran war talks next week - reportESPNFBS oversight committee can't overturn WMU loss despite improper protocolsDaily MaverickAMABHUNGANE: PetroSA was owed R227m, but may end up losing R1.4bn instead한겨레IPO 절차 돌입한 무신사, 국내외 오프라인 확장 가속…중국 선전 매장 2곳 연다La NaciónCorinthians vs. Estudiantes de La Plata, en vivo: el minuto a minuto del partido por la Copa Libertadoresالنهارالحزب السوري القومي منشغل بالردودScreen RantMarvel Officially Upgrades Iconic Team To Avengers LevelThe Japan TimesAustralia to bar foreign students from bringing their partners and children경향신문‘짧은 추석’ 서울에서 보낸다면···“연휴 내내 문화행사 즐기세요”中国新闻网【赓续长征精神 奋进复兴征程】红色沃土长出更多富民产业
The Daily Newsstand · Free, Always
Thursday, September 17, 2026

Dakwaan ‘campur tangan AS’ Hadi berisiko jejas imej PN, kata penganalisis

Translate

Dakwaan Presiden Abdul Hadi Awang mengenai campur tangan AS tidak mungkin merosakkan hubungan dengan Washington namun mampu membangkitkan persoalan mengenai kredibiliti Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘kerajaan menunggu’.

Naib Presiden Bersekutu di The Asia Group Asrul Hadi berkata PAS perlu menyokong sebarang dakwaan serius dengan bukti kukuh dan lebih berdisiplin dalam retorik dasar luarnya jika mahu meletakkan diri sebagai kerajaan alternatif yang berdaya maju.

Walaupun mesej Hadi bertujuan dalam konteks politik tempatan, beliau berkata kesannya mungkin dirasai menjangkaui sempadan Malaysia.

“Bagi ekonomi yang bergantung kepada perdagangan seperti Malaysia, adalah satu keperluan untuk mengekalkan keyakinan pelabur dan hubungan konstruktif bersama rakan kerja utama termasuk AS,” katanya kepada FMT.

Felo Kanan Singapore Institute of International Affairs Oh Ei Sun berkata dakwaan Hadi berkemungkinan tidak menjejaskan hubungan antara Malaysia-US kerana Washington “terlalu berpengalaman” seterusnya mampu membezakan antara retorik politik daripada sudut dasar luar negara.

“Hubungan dua hala antara Malaysia dan AS memang kukuh dari dulu. Kita bekerjasama rapat dalam pelaburan perdagangan dan keselamatan, malah kita memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan global bagi cip komputer dan logam nadir bumi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dakwaan itu juga tidak semestinya memanfaatkan Hadi dari segi politik kerana pengundi Malaysia secara umumnya tidak mengendahkan isu luar negara selain yang melibatkan Palestin.

Namun, Oh berkata bagi pelabur asing, perkara lebih membimbangkan adalah kemungkinan PAS berkuasa.

Katanya, sentimen ini berdasarkan maklum balas diterimanya daripada pelabur yang masih bimbang dengan implikasi kerajaan dipimpin PAS terhadap pelaburan.

James Chin dari University of Tasmania berkata sebarang siasatan terhadap dakwaan Hadi tidak mungkin mencapai dapatan konklusif memandangkan bekas duta AS terbabit bukan lagi di Malaysia manakala Washington juga telah menafikan dakwaan berkenaan.

“Penyokong PAS akan mempercayai Hadi tidak kira apa yang beliau katakan kerana ahli parti sangat setia. Ia tidak akan memberi sebarang kesan terhadap reputasi PAS dalam kalangan penyokongnya,” katanya.

Kontroversi itu susulan dakwaan Hadi ketika muktamar PAS ke-72 di Kelantan bahawa parti itu ditawarkan bantuan oleh kedutaan AS untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional pada 2014 ketika lawatan bekas Presiden Barack Obama ke Malaysia.

Katanya, penolong setiausaha agung PAS ketika itu, Takiyuddin Hassan dan Ahmad Samsuri Mokhtar iaitu setiausaha politik Hadi pada masa berkenaan, menghadiri mesyuarat di kedutaan.

Bagaimanapun, katanya, Takiyuddin dan Samsuri tegas menolak tawaran itu.

Kedutaan AS menafikan dakwaan Hadi itu dan menegaskan AS tidak pernah cuba menentukan kepimpinan politik Malaysia.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.