Penggantungan PN tak jejas PAS, kata penganalisis

Penggantungan Perikatan Nasional (PN) dijangka tidak memberi kesan besar terhadap PAS pada PRN Melaka akan datang, namun perkembangan itu mungkin mencetuskan cabaran buat Wawasan, parti pimpinan Hamzah Zainudin, menurut penganalisis politik.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, PAS sudah cukup kukuh untuk bertanding menggunakan logonya sendiri.
“Namun Wawasan masih amat baharu dan asing bagi pengundi di Melaka,” katanya kepada FMT, menambah kedua-dua parti itu ‘tiada pilihan’ selain bertanding di bawah lambang masing-masing susulan penggantungan berkenaan.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menggantung PN pada Rabu, sehari selepas mengeluarkan notis tunjuk sebab ekoran aduan yang dibuat oleh Bersatu.
JPPM menjelaskan, tindakan itu bertujuan memelihara kepentingan pertubuhan terbabit dan bukan bermaksud pendaftaran PN dibatalkan.
Bagaimanapun, Azmi berkata, penggantungan tersebut mungkin tidak akan menggagalkan rundingan kerusi antara Umno dan PAS, memandangkan Umno dilihat lebih banyak berurusan terus dengan PAS berbanding PN secara menyeluruh.
Perkembangan terkini itu bahkan berpotensi mendorong PAS dan Umno memuktamadkan rundingan mereka dengan lebih pantas, tambahnya.
Pada Khamis, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi berkata, parti komponen PN berkemungkinan kembali bertanding menggunakan logo masing-masing pada PRN Melaka serta PRU akan datang.

Penganalisis daripada Universiti Tasmania, James Chin, bersetuju bahawa penggantungan PN tidak akan menjejaskan rundingan kerusi antara PAS dan Umno.
Bagaimanapun, Chin berkata, persoalan lebih besar kini adalah sama ada PAS mampu mengekalkan keutuhan gabungan itu, memandangkan PN kini dipengerusikan oleh Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Jika PAS gagal memastikan gabungan ini terus bertahan, pendaftarannya akan dibatalkan dan Malaysia akan kehilangan satu lagi gabungan politik,” tambahnya.

Penganalisis Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Shukri pula berpandangan penggantungan tersebut menggugat kedudukan PN dalam rundingan kerusi dengan BN.
Sebelum penggantungan itu, timbul ura-ura bahawa BN dan PN bakal bekerjasama bagi menghadapi PRN Melaka.
“Namun pada tahap ini, keadaan PN dilihat agak bercelaru.”

Bagaimanapun, penganalisis Universiti Teknologi Malaysia, Mazlan Ali berpendapat, penggantungan itu boleh memberi kesan ketara kepada PAS di luar Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Perlis, iaitu negeri-negeri ‘SG4’.
“PAS bergantung pada jenama PN di luar negeri SG4, memandangkan simbol PAS sukar meraih sokongan, khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu,” katanya.
DUN Melaka dibubarkan pada Rabu, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaan PRN, manakala penggantungan kegiatan PN berkuat kuasa pada keesokan harinya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.