Apa Dr M sebut tentang PAS terbukti benar


Ironi adalah perkataan yang sepatutnya sinonim dengan politik. Apa tidaknya, musuh boleh jadi kawan, kawan boleh jadi musuh, orang yang ditentang reformasi dia pula yang memenangkannya.
Dulu tahun 80-an dan 90-an, saya menyokong Dr Mahathir Mohamad 100%. Kemudian saya amat membenci beliau dari tahun 1997 hingga 2016, berlatarkan reformasi ketika itu. Apabila beliau bekerjasama dengan Pakatan Harapan, saya menyokong Mahathir sehinggalah 2020 apabila beliau ditikam belakang oleh parti sendiri — sedap juga melihat Mahathir ditikam oleh gengnya sendiri. Sekarang saya menulis pula bahawa pandangan beliau tentang PAS jelas lebih benar berbanding tanggapan saya terhadap parti itu, sejak dari 1997 hingga PAS berkawan dengan Umno dan Najib Razak.
Tujuan saya menulis artikel ini adalah kerisauan saya tentang nilai dan sikap orang Melayu. PAS kini memperlihatkan nilai yang cukup membimbangkan tetapi yang peliknya tak ramai agamawan akademik yang menegur secara langsung. Maka terpaksalah saya mencari orang yang orang Melayu hormat lebih daripada orang kerdil dalam politik seperti saya untuk memberi kesedaran tentang bahaya parti yang menunggang agama demi kuasa.
Baru-baru ini kita membaca tentang seorang pemimpin PAS yang mengatakan pemberian derma untuk membayar denda RM50 juta yang dikenakan ke atas seseorang yang didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana adalah perbuatan yang dapat pahala. Sebelum ini, rasanya tahun lepas, PAS menjayakan tabung jihad untuk membayar saman fitnah untuk seorang wakil rakyatnya. Kedua-dua kes penyelewengan dana dan fitnah ini boleh kita telusur tanpa was-was. Kemudian, kita dapat tahu bahawa orang yang memfitnah serta orang yang pecah amanah dan salah guna kedudukan tidak menyatakan penyesalan, jauh lagi berikrar tidak akan mengulang lagi perbuatan.
Tidak cukup dengan itu, kita juga mendengar PAS menggunakan istilah munafik semasa membahaskan Belanjawan 2027 yang dibentangkan perdana menteri baru-baru ini. Ada pula presiden PAS menyifatkan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan yang ditandatangani antara kerajaan dan beberapa Ahli Parlimen pembangkang sebagai pendekatan dajal. Kita sudah pun maklum tentang peristiwa membaca doa qunut nazilah terhadap orang yang tidak sehaluan dengan PAS. Isu mengkafirkan orang sudah pun tercatat dalam sejarah negara.
Maka itu saya menyingkap dua ucapan Mahathir dalam Perhimpunan Agung Umno pada 1984 dan 1999. Dalam ucapan 1984, Mahathir mengecam PAS seperti berikut;
“Umno adalah parti politik orang Melayu. Oleh kerana orang Melayu semuanya beragama Islam, maka Umno dengan sendirinya menjadi parti orang Islam Semenanjung Malaysia dan berjuang untuk agama Islam. Tetapi Umno bukan hipokrit dan berpura-pura menafikan yang ia adalah parti orang Melayu seperti yang dibuat oleh sebuah parti lain.
“Umno dengan jelas mengakui yang ianya parti kebangsaan Melayu di samping menjadi parti Islam. Menafi hakikat ini akan menjadikannya hipokrit atau munafik — dan orang munafik tidak menjadi orang Islam yang jujur.
“Tidak ada cara yang lebih berkesan untuk mengekalkan kelemahan orang Melayu daripada menggunakan orang Melayu sendiri untuk melawan orang Melayu. Dengan tertubuhnya PAS maka terbentuklah alat utama musuh orang Melayu. Malang bagi mereka, kebanyakan daripada orang Melayu dapat meneka strategi pecah-belah ini dan telah terus menyokong Umno.
“Sekarang ini usaha ditumpukan kepada melemahkan semangat kebangsaan Melayu dengan mendakwa Islam menentang kebangsaan. Bahawa kebangsaan orang Melayu adalah satu alat mempertahankan diri bagi orang Melayu yang semuanya Islam, sama seperti kebangsaan Mujahidin mempertahankan orang Islam Afghanistan, dan tidak menjadi satu keangkuhan yang mengenepikan agama Islam dan orang Islam lain, tidak disebut. Mereka yang mendakwa bahawa mereka cuma mengakui keislaman mereka dan kononnya menolak semangat kebangsaan Melayu, tidak pula berani mempertahankan orang yang seagama dengan mereka di Afghanistan, atau di Lubnan atau di lain-lain tempat. Keislaman mereka terhad kepada kegiatan di Malaysia sahaja di mana kebangsaan Melayu Umno dapat memberi perlindungan kepada mereka. Sifat mereka ini adalah sifat hipokrit atau sifat talam dua muka. Dan mereka adalah begitu fanatik kepada parti mereka sehingga mereka tidak menyoal sama ada pendirian parti mereka baik atau tidak. Mereka inilah yang sebenarnya dari golongan asabiyah.”
Jelas siapa sebenarnya hipokrit yang dimaksudkan Mahathir ketika itu. Namun demikian kita dapat merasai kesamaan mesej tersebut dalam tindak tanduk PAS ketika ini.
Dalam petikan kedua ucapan yang sama, Mahathir mempertikaikan PAS bahawa mereka sahaja yang tahu Islam manakala orang lain seperti Umno ketika itu yang juga mempunyai barisan pemimpin seperti Anwar Ibrahim tidak mencerminkan Islam sebenar.
“Sebagai satu lagi usaha untuk menentukan kejayaan orang Melayu, kita telah berusaha menerapkan nilai-nilai Islam. Kita tidak syak bahawa nilai-nilai Islam akan menjadikan orang Melayu orang yang lebih berjaya di dunia dan di akhirat. Pentadbiran yang diasaskan kepada nilai-nilai Islam tetap akan menjadi pentadbiran yang kukuh, adil dan berjaya.
“Di sini nilai-nilai Islam tidak bermakna rupa bentuk dan kebudayaan Arab yang menjadi tumpuan setengah-setengah orang Melayu di Malaysia. Memang benar rupa-bentuk boleh dijadikan simbol Islam dan ditiru dengan mudah. Tetapi rupa-bentuk tidak akan membawa kejayaan kepada kita. Yang akan membawa kejayaan ialah amalan nilai-nilai Islam seperti amanah, disiplin, taat setia, rajin dan tekun, bersaudara antara orang-orang mukmin, berani kerana benar, bertoleransi dan bertimbang rasa, adil, insaf dan syukur dan lain-lain lagi nilai yang mulia yang tidak begitu mudah diamal atau dipamerkan.
“Dalam ucapan saya di perhimpunan agung 1982, saya telah menjelaskan tentang hasrat kerajaan untuk menerapkan nilai-nilai Islam ke dalam pentadbiran negara. Maksud saya ialah supaya kita akan mentadbir dengan amanah, jujur, disiplin, setia, bertanggungjawab, cekap, bersih, dan lain-lain lagi nilai Islam yang akan menjadikan pentadbiran negara ini satu pentadbiran yang berkesan dan adil.
“Malangnya hasrat ini telah dijadikan alasan untuk ajaran dan tindakan yang membawa masalah dan mengganggu pentadbiran. Islam sengaja digambarkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu sebagai agama yang tidak toleran, sehingga kakitangan kerajaan yang beragama Islam dilarang dari berkawan dengan yang bukan Islam dan melawat mereka di hari kebesaran mereka. Tumpuan diberikan bukan kepada soal khidmat yang baik dan pegangan kepada janji dan ikrar, tetapi kepada soal haram-halal, di mana tafsiran dibuat mengikut nafsu.
“Demikianlah ekstremnya tafsiran yang dibuat sehingga ada pegawai yang tidak mahu menyentuh kertas yang ada tertulis di dalamnya perkataan ‘babi’. Ada yang sanggup menukar arahan ketua kerana tidak secocok dengan fahaman ekstrim mereka. Ada yang berpendapat bahawa penerapan nilai Islam bermakna memakai cador, tetapi kerana gaji, mereka masih sanggup bekerja di pejabat.”
Dalam petikan ucapan 1999 sewaktu era reformasi dan Mahathir berseteru dengan Anwar, beliau juga menyerang PAS yang bekerjasama dengan DAP. Di sini Mahathir menyebut bahawa PAS adalah parti yang boleh mengubah haluan mengikut citarasa sendiri dan memfatwakan apa saja bagi niat politik kuasa;
“PAS adalah sebuah parti yang mudah menukar haluan mengikut kepentingan semasa. Demikian pada mulanya PAS mendakwa bahawa orang Islam yang bekerjasama dengan orang bukan Islam menjadi kafir dan dengan itu PAS menolak kerjasama dengan bukan Islam. Kemudian PAS menyertai Barisan Nasional dan bekerjasama dengan orang bukan Islam dalam BN. Pada masa itu PAS tidak lagi mendakwa bahawa orang Islam yang bekerjasama dengan bukan Islam menjadi kafir. Ternampak jelas tafsiran agama oleh PAS boleh ditukar untuk kepentingan semasa.
“Kemudian PAS keluar daripada BN dan menganggap orang Umno tidak Islam sehingga ahli dan pemimpin PAS sanggup sembahyang berasingan di masjid yang sama dan membina masjid lain bagi orang PAS. Tetapi apabila pilihan raya hampir tiba, PAS mengadakan pakatan dengan DAP yang bukan Islam. Bagi PAS, orang Umno yang Islam tidak boleh dijadikan sahabat seperti PAS bersahabat dengan orang bukan Islam dalam DAP.”
Kini kita melihat kebenaran kata-kata Mahathir itu apabila PAS menghumban Bersatu dan memeluk Umno serta kini memperjuangkan nasib Najib.
Akhir sekali Mahathir menyinggung isu PAS yang suka merendahkan umat Islam lain dan menampakkan diri mereka seperti orang Islam terpilih dan special dalam ungkapan seperti di bawah;
“Hari ini kita lihat kesan daripada kesanggupan PAS bekerjasama dengan syaitan. Nik Aziz dan pemimpin PAS yang lain sanggup mengeluarkan kata-kata yang buruk kononnya Badawi Malaysia menjadi gembala babi. Sindiran ini tidak mempunyai asas kerana Abdullah Badawi telah ditugaskan untuk menyelaraskan kerja-kerja menghapuskan penyakit JE (Japanese Encephalitis), bukan untuk menjaga babi. Lebih dari itu dakwaan dibuat kononnya tuhan mencarut dan kita orang Islam patut mencarut.
“Tetapi orang PAS akan terus setia kepada PAS kerana mereka fanatik dan taasub kepada parti mereka. Mereka adalah daripada kumpulan asabiyah, kumpulan yang terlalu fanatik dalam menyokong kumpulan mereka sehingga tidak mengambilkira kumpulan mereka baik atau jahat, benar atau salah. Demikian apabila ahli PAS berkhalwat, mereka tidak bersalah. Kesalahan hanya ada pada orang lain, tidak sama sekali kepada orang PAS dan parti PAS. Inilah orang yang keterlaluan dan termasuk dalam golongan asabiyah.”
Mahathir cukup benar bacaannya tentang PAS serta ahli-ahli yang mempunyai sentimen kefanatikan yang cukup besar. Sikap ini bukan sahaja ada pada golongan tidak berpendidikan tinggi, golongan kelas pertengahan dan akademik berjawatan tinggi di universiti pun sama saja kefanatikan mereka.
Saya menyokong PAS selama 20 tahun, sebagai ahli dan penyumbang wang serta pemikiran. Saya juga membenci semua tuduhan Mahathir terhadap PAS dahulu, tetapi hari ini saya terpaksa mengakui bahawa bacaan Mahathir tentang PAS ternyata benar dan saya dapat melihat dengan sendiri kebenaran tersebut hari ini.
Sebagai ringkasan ucapan Mahathir di atas, beliau membawa mesej tentang bahaya kepercayaan fanatik kepada agama dan parti politik yang boleh merosakkan orang Melayu dan pembinaan negara bangsa serta pembangunan ekonomi untuk semua.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.