Lewat agih bekalan baja pesawah, pengarah syarikat direman SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengarah urusan syarikat pembekal baja berkaitan isu kelewatan pengagihan bekalan baja sebatian tambahan (Baja 3) kepada pesawah di Kedah.
Perintah reman selama empat hari sehingga 16 Sept dikeluarkan Majistret Eliana Ismail selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Alor Setar pagi tadi.
Suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira 2.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.
Pengarah SPRM Kedah, Nazli Rasyid Sulong ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan SPRM meneliti isu kelewatan pembekalan baja kepada pesawah di Kedah.
Anwar berkata punca kelewatan perlu dikenal pasti, termasuk meneliti syarikat yang diberikan amanah untuk menguruskan pembekalan berkenaan.
Ini selepas media melaporkan hasil kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dikhuatiri terjejas apabila masih belum menerima baja tambahan.
Bekalan baja itu diuruskan oleh syarikat yang dilantik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi memenuhi keperluan kawasan Mada berkeluasan 100,000 hektar.
Susulan itu SPRM berkata pihaknya membuka satu kertas siasatan selepas menerima aduan daripada Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah) pada 26 Ogos lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu sebelum ini juga berkata kerajaan mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan sebuah syarikat bagi pembekalan baja ekoran berlaku kelewatan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.