CSA kurangkan pengaruh BN terhadap kerajaan pimpinan Anwar, kata penganalisis

Perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) antara kerajaan Anwar Ibrahim dan tujuh Ahli Parlimen pembangkang dapat mengurangkan kebergantungan kerajaan perpaduan kepada Barisan Nasional (BN) atau mana-mana rakan gabungan lain, menurut penganalisis politik.
Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata kerajaan Anwar mempunyai sokongan mencukupi di Dewan Rakyat untuk kekal sehingga tamat penggal walaupun BN menarik sokongan, memandangkan rakan lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mungkin berbuat demikian.

“Jadi, tiada keperluan segera untuk menandatangani perjanjian sama dengan parti lain.
“Saya melihatnya lebih sebagai strategi jangka panjang untuk menunjukkan kerajaan Anwar masih mempunyai pilihan dan tidak terlalu bergantung kepada BN atau ancaman daripada mana-mana anggota gabungan,” katanya kepada FMT.
Syaza berkata, langkah itu juga bertujuan memperkukuh kedudukan kerajaan dan menangkis kemungkinan pembangkang mendesak pilihan raya mengejut.
Kerajaan perpaduan pimpinan Anwar terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), BN, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), GPS dan beberapa parti kecil.
Gabungan itu mempunyai 143 kerusi di Dewan Rakyat, selain mendapat sokongan Bersatu, enam Ahli Parlimen bebas dan Muda.
Pada Khamis, kerajaan persekutuan menandatangani perjanjian dengan enam Ahli Parlimen Bersatu dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dengan dua pembaharuan utama perlu dilaksanakan Putrajaya.
Tujuh Ahli Parlimen itu mahu tempoh jawatan perdana menteri dihadkan dan peranan peguam negara serta pendakwa raya dipisahkan sebelum tamat penggal kerajaan.
Mereka juga menuntut peruntukan pembangunan kawasan yang sama seperti diterima Ahli Parlimen penyokong kerajaan.
Sebagai balasan, tujuh Ahli Parlimen pembangkang itu bersetuju menyokong kerajaan Anwar sehingga tamat penggal Parlimen dan membantu meluluskan Belanjawan 2027.
Syaza berkata, Bersatu pula dilihat mahu mencari rakan baharu bagi menstabilkan kedudukannya susulan pergeseran dengan PAS dan Perikatan Nasional (PN).

Tawfik Yaakub daripada Universiti Malaya berkata, perjanjian itu tidak bermaksud kerajaan persekutuan sedang berdepan masalah, sebaliknya boleh dilihat sebagai langkah memperluas pilihan sokongan politik di Parlimen.
“Namun, ia memberi isyarat bahawa kerajaan mempunyai ruang untuk mendapatkan sokongan daripada pihak lain tanpa terlalu bergantung kepada rakan gabungan sedia ada,” katanya.
Bagaimanapun, Tawfik berkata tiada asas ketika ini untuk BN atau GPS menarik sokongan terhadap kerajaan.
‘Insurans politik’

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri daripada Global Asia Consulting menyifatkan perjanjian itu sebagai satu bentuk ‘insurans politik’ kepada kerajaan.
“Anda tidak membeli insurans kerana rumah sedang terbakar. Anda membelinya kerana mengesyaki ada orang yang sedang memegang mancis,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata langkah Anwar mendapatkan kerjasama daripada Bersatu berpotensi menjadikan hubungan antara Umno dan PH lebih rumit.
Katanya, akar umbi Umno sejak awal tidak sepenuhnya selesa dengan PH, khususnya DAP, dan hubungan lebih rapat antara kerajaan dengan pemimpin berkaitan Bersatu boleh menambahkan ketegangan.
“Keadaan itu lebih rumit kerana Umno dan Bersatu pada asasnya bersaing untuk kelompok pengundi yang sama,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.