Tak bagus beri Langkawi autonomi cukai, kata ahli ekonomi

Cadangan seorang Ahli Parlimen mahu Langkawi diberikan autonomi fiskal menguruskan cukai sendiri akan mencetuskan tuntutan serupa daripada kawasan dan negeri lain, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education, Carmelo Ferlito, berkata beliau menyokong secara prinsip desentralisasi fiskal kerana ia meningkatkan kebertanggungjawaban dan mendekatkan proses pembuat keputusan kepada rakyat.
Namun, katanya kepada FMT, perkara tersebut tidak boleh dilaksanakan secara ad hoc bagi satu-satu kawasan tertentu sahaja.
“Sekiranya Langkawi mendapat layanan istimewa, tempat lain akan meminta perkara sama dan akhirnya kita akan mempunyai tampung pengecualian. Apa yang Malaysia perlukan ialah reformasi fiskal secara menyeluruh.
“Hasil dan perbelanjaan sepatutnya diuruskan di peringkat negeri dan tempatan di seluruh negara. Peringkat persekutuan hanya akan mengekalkan fungsi-fungsi utama negara, seperti pertahanan,” katanya.
Ferlito berkata, kompromi realistik bagi Langkawi adalah sama ada pemulangan hasil cukai dijana di pulau itu berdasarkan formula telus, atau levi sederhana dikhususkan untuk sanitasi, air, pengangkutan, dan perlindungan alam sekitar.
Katanya, perkara berkenaan perlu dijadikan langkah pertama ke arah desentralisasi di seluruh negara, bukannya keistimewaan khas hanya untuk Langkawi.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Langkawi Suhaimi Abdullah mencadangkan Putrajaya memberikan autonomi kepada pulau itu untuk menguruskan cukainya dan menggunakan hasil terbabit bagi pembangunan tempatan.
Beliau berkata, sebahagian besar daripada berbilion ringgit dijana Langkawi melalui sektor pelancongan disalurkan ke kantung persekutuan, walaupun pelbagai peringkat kerajaan perlu menanggung kos pembangunan dan perkhidmatan.
Model desentralisasi fiskal berstruktur
Peguam percukaian S Saravana Kumar dan ahli ekonomi Barjoyai Bardai menyokong penerokaan model desentralisasi fiskal berstruktur dengan pengaturan jelas perkongsian hasil, ketelusan tanggungjawab perbelanjaan, dan hasil pembangunan yang boleh diukur.

Saravana berkata, penting untuk membezakan antara memberikan Langkawi kawalan lebih besar terhadap hasil dijananya dengan autonomi mengenakan serta mentadbir cukai secara bersendirian.
Memandangkan Langkawi menjadi destinasi pelancongan utama, beliau berkata, adalah wajar meneliti sama ada kadaran hasil yang lebih besar dijana patut disalurkan semula untuk menambah baik infrastruktur, pengurusan alam sekitar, dan bekalan air di pulau itu.
“Namun, autonomi fiskal tidak bermaksud secara automatik Langkawi berhak menyimpan setiap ringgit cukai dikutip di sana.
“Percukaian persekutuan turut membiayai infrastruktur negara, perkhidmatan awam, keselamatan, dan pengagihan semula antara wilayah. Sebarang reformasi mesti mengambil kira tanggungjawab nasional tersebut.
“Jadi, saya menyokong penelitian terhadap model desentralisasi fiskal yang lebih berstruktur, perkongsian hasil yang telus, dan kebertanggungjawaban tempatan, berbanding menyokong terus pembentukan percukaian berasingan untuk Langkawi,” katanya.
Barjoyai daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, mengemukakan cadangan skim perkongsian hasil pelancongan Langkawi di mana Putrajaya boleh bersetuju memperuntuk sebahagian hasil berkaitan pelancongan pulau itu dalam satu tabung pembangunan.
Beliau turut mencadangkan kerajaan menyemak semula kadar cukai sedia ada di Langkawi, terutama dalam menentukan sama ada ia mencerminkan kecukupan kos perkhidmatan di hotel, premis komersial, dan lain-lain.
“Tetapi, sebarang semakan semula perlu mempertimbangkan kesannya terhadap perniagaan kecil, pemilik hartanah, dan penduduk. Meningkatkan caj tempatan secara sewenang-wenangnya boleh menaikkan kos operasi dan menjejaskan daya saing perusahaan tempatan,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.