Ketua Bersatu Terengganu tetap sokong Dr Sam walau PAS putus hubungan
Ketua Bersatu Terengganu, Yusop Majid, menegaskan sokongannya kepada kerajaan negeri pimpinan PAS di bawah Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar, walaupun kedua-dua parti sudah memutuskan hubungan politik.
Yusop yang juga Adun Permaisuri berkata, Samsuri seorang pemimpin profesional kerana tidak mencampuradukkan kepentingan politik dengan urusan pentadbiran negeri.
“Saya sendiri masih setia kepada PAS walaupun saya Bersatu. Saya tetap setia kepada kerajaan pimpinan PAS di bawah Samsuri sebagai menteri besar.
“Saya lihat Samsuri seorang yang profesional dan tidak terlalu bermain politik dalam mentadbir negeri,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut melayan Adun Bersatu secara adil apabila peruntukan kepada lima wakil rakyat parti itu diteruskan seperti biasa tanpa sebarang sekatan.
“Soal peruntukan tidak disekat, semuanya berjalan seperti biasa. Kerajaan negeri profesional dalam hal ini,” katanya.
Mengulas kemungkinan Bersatu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRU16 susulan perkembangan di peringkat pusat, Yusop menyerahkan keputusan itu kepada pucuk pimpinan parti.
Bagaimanapun, katanya Bersatu Terengganu tidak mempunyai perancangan ke arah kerjasama berkenaan dan mahu memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti terlebih dahulu.
“Isu kerjasama dengan PH saya lihat hanya cerita di Pantai Barat. Di Terengganu, PH tidak mempunyai kekuatan sangat.
“Saya mahu parti dibentuk semula kerana Bersatu tidaklah teruk di Terengganu. Saya lihat sekarang ahli mula bangkit dan kembali bersemangat,” katanya.
Yusop berkata, beliau turut mahu menyatukan orang Melayu yang didakwanya semakin berpecah.
“Memang itu hasrat saya. Agenda saya di Permaisuri, di kawasan saya, adalah untuk membina penyatuan orang Melayu, sejak sebelum wujudnya Muafakat Nasional lagi,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.
