Pekebun kecil sawit lega TSPKS 2.0 ringankan kos tanam semula

Program Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil Persendirian (TSPKS) 2.0 membantu meringankan beban kewangan pekebun kecil yang berdepan kos tinggi untuk menanam semula pokok sawit tua dan tidak lagi produktif.
Skim yang menawarkan 50% geran serta penangguhan bayaran pembiayaan sehingga empat tahun itu membolehkan mereka menampung kos pembersihan tanah, pembelian benih dan pengurusan kebun sementara menunggu pokok baharu mengeluarkan hasil.
Ia adalah inisiatif kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Agrobank bagi membantu pekebun kecil persendirian melaksanakan penanaman semula.
Bercakap kepada FMT, pekebun kecil dari Sabak Bernam, Norlinda Mokhtar, 45, berkata modal menjadi antara kekangan utama untuk menanam semula kebun sawit kerana kos yang perlu ditanggung agak besar.
“Kekangan utama memang modal. Kalau dikira-kira, memang besar modal untuk tanam semula.
“Namun dengan skim ini, penangguhan bayaran sehingga tahun kelima dan hanya perlu membayar 50% daripada modal memang sangat membantu dan tidak membebankan kami,” katanya yang mengusahakan kebun seluas 1.97 hektar.
Seorang lagi pekebun kecil dari Sabak Bernam, Mahfudz Hasan Anuar@Annuan, 62, berkata proses tanam semula semakin penting apabila pokok sawit berusia lebih 20 tahun mula mengalami penurunan hasil selain berdepan ancaman penyakit Ganoderma.
Mahfudz, yang hampir 30 tahun mengusahakan sawit, berkata TSPKS 2.0 turut memberi peluang kepadanya menggunakan teknologi dan benih baharu bagi meningkatkan produktiviti kebun.
“Penangguhan bayaran serta penambahbaikan syarat seperti pemansuhan keperluan penjamin bagi warga emas amat meringankan beban,” katanya.
Beliau turut menanam tanaman selingan seperti labu dan pisang bagi menjana pendapatan sementara menunggu pokok sawit baharu mengeluarkan hasil.
Manfaat sama dirasai pekebun kecil di Sabah, Farid Rizwande Mohammad Johan, 38, dari Kunak, yang berkata skim itu membolehkannya mengusahakan semula kebun warisan keluarga yang terbiar selepas pemergian bapa saudaranya.
Menurutnya, kos membersihkan dan meratakan tanah serta membeli anak benih sebelum ini terlalu tinggi sehingga memaksanya menangguhkan rancangan menanam semula.
“Apabila MPOB memberikan maklumat mengenai TSPKS 2.0 dan menghubungkan saya dengan kontraktor berdaftar, barulah saya mampu melaksanakannya,” katanya.
Sementara itu, Abdul Karim Abdul Rani, 63, yang mengusahakan kebun di Perak dan Selangor berkata agihan dana secara berperingkat di bawah skim itu membantu menampung kos sementara menunggu pokok baharu mengeluarkan hasil.
“Bantuan gabungan geran dan pembiayaan ini membolehkan kita menebang pokok tua yang tidak lagi produktif.
“Cuma sebagai pekebun kecil, kami berharap pembiayaan ini dapat ditukar kepada geran penuh pada masa akan datang bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan bank,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.