The Jerusalem PostTrinidad and Tobago's ban on gay sex overturned by UK's Privy CouncilPunchSenate splashes N100m on Flamingos한겨레‘압승’ 민주당, 트럼프 전방위 공세…전 비서실장 등 참모와 대기업 조사Inquirer78-year-old man found dead inside hut in Occidental Mindoro townReality BlurredA new ABC reality show has people hide Shaq! Survivor, try that!النهاراليمن والمغرب... حتى الطعام يجمعنا!ZDF heuteEntdecken Sie das ZDF-NachrichtenstudioDaily MailStacy Keach dead at 85: Renowned stage and screen actor famously starred in Blue Bloods, Prison Break and Bourne Legacy during nearly 60-year Hollywood careerThe Sydney Morning HeraldSetka stripped of CFMEU membership, faces claim over slush fund millionsEl ComercioBanco de la Nación cambia horarios por visita del papa León XIV: conoce qué agencias cerrarán y dónde no habrá atenciónESPNGeorgia takes CFP's top spot, Notre Dame jumps six slots to No. 5MyJoyOnlineFormer Magistrate Mary Bibiana Oduro to be buried November 20
The Daily Newsstand · Free, Always
Wednesday, November 11, 2026

‘Bossku akhirnya balik rumah’, kepercayaan rakyat pula bagaimana?

Translate

Malam tadi, secara rasmi Najib Razak mula menjalani tahanan rumah selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah baharu yang membenarkan bekas perdana menteri itu menghabiskan baki hukuman penjaranya di kediaman sendiri di Langgak Duta.

Dengan itu, berakhirlah polemik ‘pelepasan’ Najib selepas beberapa hari kedudukan perintah pengampunan bersyarat tersebut menjadi pertikaian, seusai denda RM50 juta dilunaskan.

Bagi Najib dan keluarganya, keputusan itu pasti satu kelegaan. Selepas lebih empat tahun meringkuk di Penjara Kajang, bekas presiden Umno itu kini perlu menghabiskan baki hukuman kes SRC International di kediaman sendiri sehingga 23 Ogos 2028.

Tidak ada sebab untuk menafikan kelegaan yang dirasai keluarganya. Najib juga mempunyai hak di sisi undang-undang seperti individu lain. Hakikat yang beliau pernah menjadi perdana menteri tidak sepatutnya menyebabkan hak tersebut dinafikan.

Tetapi persoalannya, adakah semua orang mendapat peluang yang sama?

Isu ini tidak boleh dilihat hanya dari sudut sama ada Najib wajar atau tidak menjalani hukuman di rumah. Lebih penting ialah bagaimana keputusan sedemikian memberi kesan kepada persepsi rakyat terhadap sistem keadilan negara.

Kita tidak boleh lupa kes SRC International membabitkan RM42 juta dana syarikat itu dan membawa kepada sabitan terhadap Najib. Kes itu juga menjadi sebahagian daripada skandal 1MDB yang meninggalkan kesan besar terhadap imej negara.

Sebab itu, keputusan membenarkan bekas Ahli Parlimen Pekan tersebut menjalani baki hukuman di rumah mengundang pelbagai reaksi. Ada yang melihatnya sebagai pelaksanaan hak melalui proses pengampunan, manakala ada yang tertanya-tanya sama ada kemudahan serupa boleh dinikmati banduan lain.

Persoalan itu sebenarnya munasabah. Jika tahanan rumah adalah mekanisme yang dibenarkan undang-undang, rakyat berhak mengetahui syarat dan kriteria membolehkan seseorang dipertimbangkan untuk menikmatinya.

Adakah ia terbuka kepada semua banduan yang memenuhi syarat, atau bergantung pada pertimbangan tertentu? Bagaimana pula seseorang banduan biasa yang tidak mempunyai kedudukan atau pengaruh untuk mendapatkan peluang sama?

Ini bukan bermaksud semua banduan mesti diberikan tahanan rumah. Setiap permohonan tentu perlu dinilai berdasarkan undang-undang dan keadaan masing-masing. Namun, proses dan kriteria penilaian itu perlu jelas supaya tidak timbul tanggapan kemudahan tertentu lebih mudah diperoleh golongan berpengaruh.

Dalam isu ini, persepsi rakyat tidak boleh dipandang ringan. Sistem keadilan bukan sahaja perlu berfungsi mengikut undang-undang, tetapi juga perlu meyakinkan masyarakat yang undang-undang tidak memilih bulu.

Polemik yang berlaku sebelum ini juga sepatutnya menjadi pengajaran kepada pihak berkuasa. Pertikaian mengenai pelaksanaan perintah pengampunan bersyarat dan kedudukan titah adendum menimbulkan banyak persoalan sehingga perkara itu perlu diperjelaskan melalui proses mahkamah.

Kuasa pengampunan diraja yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan sememangnya perlu dihormati. Bagaimanapun, pelaksanaannya juga mesti mempunyai asas perundangan yang jelas. Rakyat tidak sepatutnya dibiarkan keliru mengenai bagaimana sesuatu keputusan dibuat dan dilaksanakan.

Pada masa sama, perlu difahami tahanan rumah bukan bermaksud Najib dibebas atau dilepaskan daripada sabitan kes SRC International. Beliau masih perlu menjalani baki hukuman, cuma tempat pelaksanaannya berbeza.

Mengikut perintah mahkamah, Najib perlu kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos 2028 untuk menjalani hukuman 15 tahun berkaitan kes 1MDB, tertakluk kepada perkembangan proses undang-undang.

Justeru, perdebatan mengenai isu ini tidak sepatutnya terus terperangkap dalam pertelingkahan antara penyokong dan penentang Najib. Kita tidak perlu menyukai seseorang ahli politik untuk mengakui haknya di sisi undang-undang. Begitu juga, menghormati hak seseorang tidak bermakna kita perlu berdiam diri apabila timbul persoalan mengenai kesaksamaan.

Apa yang rakyat mahu lihat sebenarnya tidak terlalu rumit. Jika sesuatu kemudahan dibenarkan undang-undang, pastikan ia boleh dipertimbangkan secara adil kepada semua yang layak, bukan hanya mereka yang mempunyai nama besar.

Najib kini pulang ke rumah untuk menghabiskan baki hukumannya. Bagi beliau dan keluarga, ini mungkin satu lembaran baharu selepas tempoh yang panjang.

Namun, bagi negara, persoalan lebih besar masih belum selesai. Rakyat mahu tahu sama ada prinsip keadilan yang membolehkan seorang bekas perdana menteri mendapat pertimbangan sedemikian turut memberikan peluang setara kepada orang biasa.

Keyakinan rakyat tidak dibina melalui kata-kata yang semua orang sama di sisi undang-undang. Ia dibina apabila mereka benar-benar melihat prinsip itu dilaksanakan.

Dan selepas segala polemik ini, barangkali ada yang membayangkan ‘Bossku’ akhirnya boleh menikmati secawan caramel macchiato dengan lebih tenang di rumah sendiri.

Penulis ialah timbalan pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.