Malaysia, China meterai MoU pacu kerjasama pengangkutan

Malaysia dan China menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang mewujudkan kerangka kerja kerjasama dua hala merangkumi pengangkutan darat, rel, maritim, dan udara, serta sektor logistik.
Kementerian Pengangkutan berkata, antara bidang tumpuan ialah pertukaran kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti, penggunaan AI, pengangkutan hijau, dan pembangunan infrastruktur rendah karbon.
MoU itu ditandatangani Menteri Loke Siew Fook dan rakan sejawatannya dari China, Liu Wei, susulan mesyuarat di Beijing semalam, di mana keduanya bertukar pandangan mengenai usaha memperluas kerjasama strategik dalam sektor pengangkutan serta meningkatkan kesalinghubungan, kecekapan dan kemampanan sistem pengangkutan masing-masing.
“Kerjasama ini dijangka meningkatkan keupayaan Malaysia dalam penggubalan dasar, memperkukuh kecekapan rantaian bekalan, menarik pelaburan teknologi China dan seterusnya memantapkan peranan Malaysia sebagai hab pengangkutan serantau Asean,” menurut kenyataan berkenaan.
Loke turut menyaksikan pemeteraian MoU Kerjasama Keselamatan Penerbangan Awam antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Civil Aviation Administration of China (CAAC), di mana kerjasama tersebut meliputi kelulusan kelayakan, pensijilan, dan pemantauan organisasi penerbangan, pelesenan serta pengawasan operasi penerbangan.
MoU terbabit akan membantu memperkukuh standard keselamatan penerbangan awam Malaysia, mengurangkan pertindihan proses teknikal serta memudahkan pergerakan produk dan perkhidmatan aeronautik antara dua negara.
Loke juga mengadakan kunjungan hormat kepada Pentadbir National Railway Administration of China, Song Xiude. Pertemuan tersebut memberi ruang bertukar pandangan mengenai pembangunan dan pengawalseliaan sektor rel, keselamatan operasi, pembangunan kapasiti serta penggunaan teknologi dalam sistem rel.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.