Belanjawan 2027: Perluas skim sewa beli ke seluruh negara, kata kumpulan advokasi

Sebuah kumpulan advokasi perumahan menggesa kerajaan memperluaskan skim sewa beli atau milik (RTO) ke seluruh negara menerusi Belanjawan 2027 bagi membantu rakyat yang mampu membuat bayaran bulanan tetapi sukar mendapatkan pembiayaan bank.
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH) berkata kerajaan juga perlu mewujudkan dana untuk membeli rumah mampu milik yang sesuai bagi skim itu, selain memperluaskan jaminan pembiayaan kepada pembeli yang mampu membayar tetapi tidak memenuhi syarat pinjaman bank konvensional.
Ketua Penyelarasnya Iskandar Abdul Samad berkata skim itu perlu mengutamakan isi rumah B40 dan M40 bawahan, serta mereka yang berpendapatan tidak tetap, dengan memastikan bayaran bulanan benar-benar mampu ditanggung berdasarkan pendapatan isi rumah.
“Matlamat dasar perumahan negara bukan sekadar membina lebih banyak rumah. Matlamatnya mesti memastikan rakyat Malaysia yang memerlukan rumah benar-benar mampu memilikinya,” kata Iskandar, yang juga bekas exco perumahan Selangor.
Iskandar berkata ramai rakyat berpendapatan rendah dan sederhana gagal mendapatkan pinjaman perumahan kerana bekerja sendiri, terlibat dalam ekonomi gig, mempunyai pendapatan tidak tetap atau tidak memenuhi syarat pinjaman bank.
Katanya, ada antara mereka mampu membayar sewa RM800 atau RM1,000 sebulan, namun masih dianggap tidak layak mendapat pembiayaan apabila memohon pinjaman perumahan.
Menurutnya, antara model yang boleh dipertimbangkan ialah kerajaan atau agensi perumahan kerajaan membeli rumah mampu milik yang sesuai daripada pemaju sebelum menawarkannya menerusi skim RTO, dengan hak milik dipindahkan kepada peserta selepas bayaran diselesaikan.
Bagaimanapun, Iskandar berkata pemilihan projek mesti berdasarkan keperluan sebenar perumahan, lokasi yang sesuai, harga berpatutan dan kualiti, bukannya memberi ruang kepada pemaju menggunakan skim itu untuk melepaskan unit tidak terjual.
Beliau berkata satu lagi pendekatan adalah kerajaan bertindak sebagai penjamin pembiayaan bagi pembeli yang mampu membuat bayaran bulanan tetapi gagal memenuhi syarat pinjaman bank konvensional.
Katanya, pendekatan seperti itu sudah dilaksanakan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), yang diteruskan dan diperkukuh dalam Belanjawan 2026 bagi membantu pembeli rumah pertama, termasuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Skim RTO di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) diluluskan Jemaah Menteri pada 2016 bagi membantu mereka yang gagal mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan.
Setakat Mac lalu, skim itu masih dilaksanakan di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur.
Pada Ogos, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kerajaan akan terus meneroka skim RTO, gadai janji kadar tetap dan instrumen pembiayaan lain yang sesuai dengan perubahan corak pekerjaan dan pendapatan.
Nga turut berkata kerajaan akan meneliti model pemilikan bersama bagi memberi rakyat Malaysia lebih banyak pilihan dan fleksibiliti dalam membiayai pembelian rumah.
Model yang digunakan di negara seperti United Kingdom itu membolehkan pembeli memiliki sebahagian daripada sesebuah hartanah melalui pinjaman perumahan dan deposit, manakala baki bahagian dibayar menerusi sewa bersubsidi.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.