Media Prima, DJ FlyFM mohon maaf isu video ‘Praying for Man United’
Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio Nazri Noran bertanggungjawab atas video kontroversi dua DJ FlyFM, Ean Nasrun dan Adam Raqeem, yang dilihat ‘bersolat’ untuk Manchester United yang sedang dilanda krisis.
Nazri berkata beliau turut menegur kedua-dua penyampai radio itu dan mengingatkan mereka supaya tidak menggunakan unsur agama dalam kandungan mereka.
Dalam kenyataan, Nazri berkata orang ramai berhak mengkritik kedua-dua DJ terbabit berhubung video dengan kapsyen ‘Praying for Man United’ itu.
“Solat adalah ibadah. Jangan jadikannya bahan kandungan. Kita sepatutnya lebih tahu,” katanya dalam video permohonan maaf bersama Ean dan Adam berhubung kontroversi itu.
Beliau mengingatkan Ean dan Adam bahawa tugas mereka adalah untuk menghiburkan pendengar, selain menggesa mereka memberi tumpuan kepada pekerjaan tanpa menyentuh sensitiviti agama.
“Fokus sahaja untuk menghiburkan. Itu tugas kamu. Perkara lain tidak perlu dibawa masuk. Jangan libatkan agama.”
Nazri memuji kesediaan Ean dan Adam mengakui kesilapan mereka, namun mengingatkan kejadian itu tidak boleh berulang.
“Kita tidak sepatutnya perlu membincangkan perkara ini lagi,” katanya.
Ean mengakui penghasilan video itu satu kesilapan dan memohon maaf, sambil berkata mereka tidak sepatutnya menggunakan agama sebagai bahan kandungan.
Beliau turut berterima kasih kepada orang ramai yang mengkritik mereka, sambil mengakui mereka mempunyai sebab untuk berasa tersinggung.
Ean berkata tiada alasan bagi mempertahankan perbuatan itu dan beliau bersedia menerima sebarang tindakan terhadap mereka.
“Apa pun tindakan yang diputuskan terhadap kami, itu wajar,” katanya.
Sementara itu, Adam mengakui mereka tidak menggunakan sewajarnya platform yang diberikan untuk menghiburkan orang ramai.
Beliau berkata tidak tahu apa lagi yang hendak dikatakan berhubung kontroversi itu, malah turut ditegur ibunya sendiri kerana video berkenaan.
“Ini kali pertama dan terakhir,” katanya sambil berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu.
Ean turut memohon maaf bagi pihak kedua-dua DJ terbabit dan FlyFM, sambil mengakui insiden itu memberi kesan kepada stesen radio berkenaan, pihak pengurusan serta keluarga mereka.
Respons menteri hal ehwal agama
Dalam kenyataan, Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Hasan berkata solat adalah antara rukun Islam dan merupakan ibadah suci.
Katanya, solat tidak seharusnya dipandang remeh atau dijadikan bahan jenaka, hiburan murahan mahupun parodi.
Zulkifli turut mengingatkan pengamal media dan pencipta kandungan supaya menjaga sensitiviti agama serta mematuhi garis panduan penyiaran demi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Katanya, kebebasan bersuara dan berkarya bukan alasan untuk mempersendakan ibadah atau menyentuh perkara asas akidah sehingga boleh mencetuskan kemarahan orang ramai dan menggugat ketenteraman awam.
Zulkifli turut menggesa pengurusan stesen radio itu memastikan pihak terbabit segera memadam kandungan berkenaan, memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam serta memastikan kejadian sama tidak berulang.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.
