Gani teguh dengan pendirian hingga disingkir, kata Anwar

Anwar Ibrahim mengenang ketegasan bekas peguam negara Abdul Gani Patail dalam menuntut keadilan ketika negara dilanda skandal rasuah terbesar sehingga disingkirkan daripada jawatannya.
Perdana menteri berkata pemergian Gani malam tadi menyaksikan negara kehilangan seorang tokoh perundangan yang berani menegakkan keadilan.
“Saya akan sentiasa mengenang ketegasan Allahyarham dalam menuntut keadilan tatkala negara terheret ke dalam skandal rasuah terbesar.
“Beliau teguh dengan pendirian dalam tempoh getir itu, sehingga akhirnya disingkirkan daripada jawatan,” katanya dalam kenyataan mengucapkan takziah kepada keluarga Gani.
Anwar tidak menamakan skandal berkenaan, namun perkhidmatan Gani sebagai peguam negara ditamatkan pada 27 Julai 2015 atas alasan kesihatan ketika beliau mengetuai pasukan khas menyiasat skandal 1MDB.
Gani berkhidmat sebagai peguam negara selama 13 tahun sebelum digantikan Mohamed Apandi Ali.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menyifatkan pemergian Gani sebagai kehilangan besar bukan sahaja kepada Sabah, malah seluruh rakyat Malaysia.
“Sebagai anak Sabah kelahiran Lahad Datu, Allahyarham telah menabur jasa dan bakti dalam bidang perundangan serta perkhidmatan awam negara.
“Segala sumbangan dan khidmat bakti beliau akan sentiasa dikenang,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.