Diplomasi pantun Tan Cheng Lock menambat hati

Pengasas MCA, Tan Cheng Lock, bukan sahaja menyatukan masyarakat Cina negara ini sebelum kemerdekaan, malah berjaya merapatkan hubungan dengan masyarakat Melayu melalui kebolehannya mendeklamasikan pantun, kata cucunya.
Tan Siok Choo, 73, berkata di sebalik kebolehan berpidato, lelaki yang diiktiraf secara meluas sebagai salah seorang bapa pengasas Malaysia itu turut mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin tempatan kerana budaya Peranakan Melaka yang kuat.
Katanya, beliau juga membina reputasi sebagai tokoh industri yang memperjuangkan kepentingan masyarakat.
“Beliau tidak memulakan gerakan massa populis atau apa-apa yang seumpamanya. Tetapi beliau dikenali ramai, khususnya di Melaka dan Singapura.
“Beliau seorang penceramah yang handal, sangat mahir berkomunikasi, mengeluarkan kenyataan dan sebagainya. Saya fikir apa yang membantu ialah beliau merupakan generasi keenam Peranakan yang menetap di Melaka,” katanya kepada FMT dalam wawancara baru-baru ini.
Siok Choo berkata demikian kepada FMT selepas pelancaran biografi ‘One Country, One People: The Life and Legacy of Tun Tan Cheng Lock’ baru-baru ini, yang disunting bersama ahli akademik Heng Pek Koon.
Beliau berkata datuknya merupakan perintis dalam perniagaan getah, menubuhkan United Malacca Bhd pada 1910, yang merupakan antara syarikat perladangan getah tertua negara yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
Walaupun Cheng Lock membina reputasi sebagai seorang tokoh industri, penglibatan beliau dalam sektor perbankan, termasuk sebagai pengarah pengasas Oversea-Chinese Banking Corporation pada 1932, menjadikan beliau lebih dikenali dalam masyarakat.
“Beliau berada dalam lembaga bank itu selama 30 tahun. Saya fikir itu memberinya keterlihatan, kerana orang ramai tahu bahawa anda sentiasa pergi ke bank untuk mendapatkan bantuan. Orang mula mengenalinya sebagai seseorang yang boleh membantu,” katanya.
Siok Choo berkata masyarakat Cina turut menghormati Cheng Lock kerana beliau kuat berpegang pada ajaran Konfusianisme, seperti yang terpamer pada ukiran kayu dan lukisan di rumah pusaka.
Beliau menunjukkan bahawa di hadapan dewan memperingati nenek moyang terdapat ukiran menceritakan kisah Zaman Tiga Kerajaan purba China, serta lukisan tokoh-tokoh Konfusianisme.
“Mereka yang arif tentang budaya Cina akan perasan perkara-perkara ini. Rumah pusaka ini sarat dengan nilai dan falsafah Konfusianisme.
“Anda akan perasan bahawa rumah ini milik seseorang yang menggemari kesusasteraan dan falsafah Cina walaupun beliau tidak boleh baca tulisan Cina,” katanya.
Cheng Lock amat dihormati dalam kalangan masyarakat Cina, dan mudah mendekati masyarakat Melayu, terutama kerana budaya Peranakan yang kuat.
“Salah satu tabiat yang membuatkan beliau disenangi masyarakat Melayu ialah beliau gemar mendeklamasikan pantun Melayu pada bila-bila masa. Beliau sebenarnya agak fasih kerana beliau akan mengubah suai pantun untuk tujuan tertentu,” kata Siok Choo.
Biografi itu mencatatkan pertemuan pertama antara Cheng Lock dengan pengasas Umno, Onn Jaafar, di Johor Bahru pada 29 Disember 1948, yang mana seorang pemimpin Melayu memuji Cheng Lock atas kebolehan mendeklamasikan pantun.
Cheng Lock disifatkan oleh bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman sebagai salah seorang anak Malaya yang masyhur, kerana beliau berulang kali menggesa semua warga Malaya menganggap diri sebagai orang Malaya, tanpa mengira kaum.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.