Pengarah syarikat mengaku tak salah pecah amanah lebih RM100,000

Seorang pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan pecah amanah membabitkan dana lebih RM101,000, dua tahun lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Lee Lun Teong, 44, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus, menurut Harian Metro.
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengarah Syarikat Menarez Development Sdn Bhd diamanahkan dengan penguasaan terhadap dana milik syarikat itu.
Dia didakwa melakukan pecah amanah jenayah terhadap harta itu dengan memindahkan RM101,679.98 dari akaun syarikat ke akaun milik tertuduh sebagai ‘fi pengarah’.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Menarez Development Sdn Bhd di Sentul, di sini, antara 1 November hingga 7 Disember 2024.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zul Hilmi Latif yang mengendalikan pendakwaan menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin, selain memohon syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Namun, tertuduh yang diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin pula memohon jumlah itu dikurangkan kepada RM20,000.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Disember ini untuk serahan dokumen.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.