ESPNFollow live: Ramirez's error paves way for Rays' rallyESPN DeportesOhtani estará en alineación de Dodgers en J3 vs. BrewersPunchTinubu has done more for North — YilwatdaThe Jerusalem PostIDF chief vows to apply October 7 lessons, pledges to pursue Israel's enemies at military ceremonyCNN TürkKırmızı bültenle aranan cinayet şüphelisi Mardin’de yakalandı한겨레“부가 흘러나가는 도시에서 머무는 도시로”…부를 쌓는 해법 찾다UOLPGR diz que não há evidências de que Mendonça foi alvo de arapongagem por cúpula da PFZDF heuteEntdecken Sie das ZDF-NachrichtenstudioEl ComercioTemblor en Chile hoy, martes 13 de octubre: hora exacta, epicentro y magnitudReality Blurred3 new reality competitions, including Assassin, and 2 revivals中国新闻网A股开盘:超3400只个股飘绿,三大指数集体低开La NaciónMurió Netinho, el artista detrás de la exitosa canción “La isla del sol”
The Daily Newsstand · Free, Always
Wednesday, October 14, 2026

MPU di universiti – teras bina insan atau sekadar cukupkan kredit?

Translate

Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 membawa aspirasi besar untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran, tetapi berpaksikan kemanusiaan (humanity-centric), mempunyai tujuan hidup (purpose-driven) dan mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Empat nilai terasnya iaitu kemanusiaan, kesejahteraan holistik, kemakmuran bersama dan kemampanan meletakkan pendidikan tinggi melampaui keperluan pasaran pekerjaan semata-mata.Namun, berdasarkan pemerhatian dan pengalaman 20 tahun dalam pendidikan tinggi Malaysia dan memerhati UK dan Jepun, timbul satu persoalan mendasar iaitu sejauh manakah kurikulum universiti benar-benar mendidik mahasiswa menjadi insan seperti dihasratkan?

Ambil sahaja mata pelajaran pengajian umum (MPU). Pada peringkat dasar, MPU dianggap komponen penting pembinaan pemikiran, nilai, karakter dan tanggungjawab kewarganegaraan. Realitinya, sejak sekian lama tidak sedikit mahasiswa melihatnya sekadar subjek sampingan untuk mencukupkan kredit pengijazahan. Malah perubahan yang kerap juga menimbulkan persoalan apakah sebenarnya nilai yang mahu diterap? Ironinya, persepsi ini mungkin turut dicerminkan melalui cara sesetengah universiti menguruskan MPU. Adakah ia benar-benar dianggap teras pembinaan insan atau sekadar pelengkap pengajian profesional?

Semua mahu diberi kredit tetapi apa sebenarnya yang dididik?

Hari ini, pelbagai kemahiran praktikal ditawarkan sebagai kursus kokurikulum berkredit daripada memasak, menjahit dan fotografi sehinggalah kepada sukan serta rekreasi.Tidak ada salahnya mempelajari kemahiran tersebut. Semuanya bermanfaat. Namun, sesuatu yang berguna dalam kehidupan tidak semestinya perlu diberikan kredit akademik universiti. Persoalannya bukan sama ada mahasiswa patut belajar memasak atau menjahit, tetapi apakah pertimbangan akademik yang menentukan keutamaan tersebut, sedangkan masa pembelajaran mahasiswa terbatas?Jika kemahiran tersebut dikembangkan melalui sains, inovasi, budaya atau kemampanan, tentu ada justifikasi akademiknya. Tetapi jika sekadar menguasai kemahiran harian asas, kita wajar mempersoalkan rasional pemberian kredit.

Di sinilah timbul risiko pencairan nilai akademik (academic dilution). Kita perlu membezakan antara kemahiran mengurus kehidupan dengan pendidikan yang membina keupayaan memahami kehidupan. Persoalan serupa timbul apabila kursus integriti dan antirasuah diwajibkan. Kursus ini penting untuk memahami undang-undang, konflik kepentingan dan akauntabiliti. Namun, mengetahui tentang rasuah tidak semestinya menjadikan seseorang berintegriti. Integriti menuntut keupayaan membuat keputusan bermoral ketika berdepan tekanan, godaan dan kepentingan peribadi. Pendidikan integriti tidak boleh berhenti pada definisi, akta dan peperiksaan. Ia mesti melibatkan dilema etika, pengalaman sebenar serta budaya institusi yang mencerminkan nilai yang diajar.Kita boleh mewajibkan mahasiswa lulus kursus integriti, tetapi tidak boleh menganggap integriti telah terbina hanya kerana mereka mendapat gred A.

MQA mahu pendidikan berteraskan nilai tetapi sejauh mana universiti jujur melaksana?

Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) 2024 memberikan penekanan terhadap Values-Based Education (VBE) dan Global Sustainability Agenda (GSA), yang diperincikan lagi melalui Guidelines on Values-Based Education MQA 2026. Menariknya, dokumen MQA sendiri mengenal pasti cabaran pelaksanaan pendidikan nilai, termasuk kekurangan latihan khusus pendidik, kekangan institusi dan kelemahan pentaksiran. Ini bukan bukti keseluruhan pendidikan tinggi telah gagal, tetapi menimbulkan persoalan sama ada pendekatan sedia ada mencukupi untuk membentuk karakter mahasiswa. MQA membezakan pendidikan yang mengajar tentang nilai dengan pendidikan yang menjadikan nilai sebagai asas pengalaman pembelajaran – values education dan values-based education. Mengajar tentang integriti tidak sama dengan mendidik insan berintegriti. Mengajar tentang kemiskinan tidak sama dengan membina kepekaan terhadap golongan miskin. Pendidikan dan pedagogi kita tersasar dalam memahami perbezaan antara keduanya.

Kebimbangannya adalaah apabila pembaharuan ini diterjemahkan sekadar melalui pemetaan VBE dan SDGs dalam silibus, matriks kurikulum serta dokumen pematuhan. Di atas kertas, semuanya boleh kelihatan sempurna. Tetapi apakah yang benar-benar berubah dalam pengalaman mahasiswa? Memetakan nilai dalam dokumen kurikulum tidak sama dengan membentuk nilai dalam diri mahasiswa. Jika reformasi hanya menghasilkan lebih banyak dokumentasi tanpa perubahan pedagogi dan budaya institusi, kita mungkin sedang mereformasikan birokrasi pendidikan, bukan pendidikan itu sendiri.

Seriuskah universiti dalam pendidikan berteras komuniti?

Penerbitan Sulam Playbook 2.0 pada Ogos 2026 memperlihatkan usaha Kementerian Pendidikan Tinggi memperkukuh pendekatan Service Learning Malaysia–University for Society (Sulam).Pendekatan ini menghubungkan ilmu akademik dengan realiti masyarakat. Mahasiswa belajar mengenal pasti keperluan komuniti, membina hubungan, merancang penyelesaian dan menilai keberkesanan tindakan. Namun, ketika dasar nasional semakin menekankan pembelajaran bersama masyarakat, terdapat juga kecenderungan di sesetengah universiti untuk mengurangkan penekanan terhadap kursus wajib keterlibatan komuniti. Keadaan ini wajar dipersoalkan, lebih-lebih lagi apabila inisiatif seperti Kampung Angkat Madani dan Bakti Madani memerlukan kompetensi bekerja bersama masyarakat.

Kompetensi memahami komuniti, membina kepercayaan dan merancang intervensi tidak terbina melalui program touch-and-go atau aktiviti hujung minggu. Ia memerlukan pendidikan formal berstruktur, pengalaman lapangan, bimbingan akademik dan refleksi kritis. Di sinilah falsafah in Action menjadi semakin penting. Sama ada dinamakan Usrah in Action, Community in Action atau apa sahaja, yang utama ialah ilmu diterjemahkan kepada tindakan, manakala tindakan menjadi sumber pembelajaran baharu. Dalam zaman kecerdasan buatan (AI), cabaran kita bukan lagi semata-mata kekurangan akses kepada pengetahuan. Mahasiswa boleh memperoleh penerangan tentang kemiskinan dan ketidaksamaan sosial dalam beberapa saat.Tetapi AI tidak boleh menggantikan pengalaman duduk bersama keluarga miskin, mendengar keresahan mereka dan mencari penyelesaian bersama.

Kita semakin kaya maklumat, tetapi belum tentu semakin kaya pengalaman memahami manusia.Lebih-lebih lagi apabila kehidupan mahasiswa semakin banyak berlangsung secara online. Membawa mereka keluar daripada skrin untuk memahami realiti masyarakat semakin menjadi keperluan pendidikan, bukan sekadar pilihan.Tentunya tidak semua mahasiswa menyukainya. Tetapi universiti bukan menu à la carte, tempat mahasiswa hanya memilih pengalaman yang selesa untuk mengumpul kredit dan mendapatkan ijazah bagi mencari pekerjaan.

Namun begitu, pendidikan in Action ini juga tidak boleh dilaksanakan sekadar melepaskan batuk di tangga. Bukan semua yang mampu menganjurkan program masyarakat semestinya mampu mengajar community-engaged learning. Ia menuntut kompetensi pedagogi, hubungan komuniti dan keupayaan membimbing refleksi kritis. Jika dilaksanakan sambil lewa, mahasiswa akhirnya sekadar turun padang, mengambil gambar, menyiapkan laporan dan memperoleh kredit. Komuniti menjadi lokasi aktiviti, bukannya rakan pembelajaran. Lebih membimbangkan, kursus yang sepatutnya membina empati akhirnya menjadi subjek yang tidak disukai kerana dianggap membebankan dan tidak bermakna. Ironinya, kursus yang diwujudkan untuk membawa mahasiswa memahami masyarakat akhirnya mungkin hanya mengajar mereka bagaimana mencukupkan kredit. Mewajibkan kursus bukan reformasi. Memastikan pengalaman wajib itu benar-benar mendidik, barulah reformasi.

Mengajar profesional perlu pakar, bina insan siapa pun boleh?

Universiti lazimnya teliti menentukan kepakaran pengajar kursus teras disiplin. Kejuruteraan, perubatan dan undang-undang memerlukan penguasaan bidang berkaitan. Tetapi apakah standard menentukan siapa layak mengajar falsafah, integriti, kenegaraan, keusahawanan atau keterlibatan komuniti? Kursus sebegini memang multidisiplin. Tidak semestinya terdapat satu kelayakan PhD khusus sebagai ukuran mutlak. Namun, ketiadaan PhD khusus bukan alasan untuk ketiadaan standard kepakaran.

Pengajar keusahawanan tidak semestinya pernah mengasaskan perniagaan, tetapi mesti menguasai ilmu dan realiti perusahaan. Pengajar falsafah perlu mampu membimbing penghujahan kritis. Pengajar integriti perlu memahami etika institusi dan tadbir urus. Pengajar keterlibatan komuniti pula memerlukan kompetensi dalam pedagogi pengalaman dan pembangunan masyarakat. Berdasarkan pemerhatian, penugasan MPU adakalanya lebih dipengaruhi keperluan memenuhi beban pengajaran berbanding kesesuaian kepakaran. Ada pensyarah ditugaskan kerana kursus perlu ditawarkan, bukan kerana bidang tersebut benar-benar dikuasainya.

Ini bukan tuduhan terhadap semua institusi atau pensyarah, tetapi keadaan yang wajar diaudit. MQA sendiri melalui GVBE 2026 menekankan latihan pendidik, pembangunan profesional dan sokongan institusi. Justeru, apakah kerangka kompetensi universiti untuk memilih pengajar MPU? Siapa menilai kelayakan mereka? Bagaimana keberkesanan pengajaran dipantau? Mengapa kita begitu tegas menjaga kepakaran untuk melahirkan profesional, tetapi kelihatan lebih longgar apabila kursus itu bertujuan membina manusia? Tanpa keseriusan ini, mahasiswa mungkin lulus falsafah tanpa mampu berfalsafah, lulus integriti tanpa memahami integriti institusi dan lulus kenegaraan tanpa mampu membezakan patriotisme daripada kepatuhan politik.

RPTM mahu bina insan tetapi MPU masih sekadar syarat graduasi?

RPTM 2026–2035 membuka peluang mengembalikan pendidikan umum kepada kedudukan sewajarnya. Reformasi MPU mesti menyentuh kedalaman kandungan, kompetensi pengajar, kebebasan intelektual, pentaksiran nilai dan pengalaman pembelajaran bersama masyarakat. Tidak semua mahasiswa akan menjadi doktor, jurutera atau peguam. Tetapi semuanya akan menjadi anggota masyarakat, membuat keputusan yang memberi kesan kepada orang lain dan memikul tanggungjawab terhadap negara. Belajar memasak mungkin mengajar mahasiswa menyediakan makanan. Belajar bersama masyarakat boleh membawa mereka memahami mengapa masih ada keluarga yang tidak cukup makan. Kedua-duanya bernilai. Tetapi universiti mesti bijaksana menentukan keutamaan pendidikannya. Jika MPU benar-benar teras pembinaan insan, kandungan, kepakaran pengajar dan pengalaman pembelajarannya mesti diberikan keseriusan yang sama seperti kursus teras disiplin.

Jika tidak, yang teras hanyalah pada nama, sedangkan pelaksanaannya kekal sebagai pelengkap kredit. RPTM tidak memerlukan universiti yang sekadar semakin mahir memetakan nilai dalam dokumen. Ia memerlukan universiti yang benar-benar mampu membina nilai melalui pengalaman pendidikan mahasiswa.

Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.