PBT Kedah berisiko disaman lagi berhubung premis judi, kata pakar

Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah boleh berdepan cabaran undang-undang baharu jika menggunakan peraturan pelesenan untuk memastikan premis perjudian terus ditutup meskipun mahkamah telah memutuskan larangan menyeluruh perjudian di negeri itu adalah tidak sah, kata pakar undang-undang.
Ainul Jaria Maidin daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, PBT boleh menolak permohonan lesen atas alasan munasabah seperti kebimbangan berkaitan trafik, keselamatan atau kacau ganggu awam, tetapi tidak boleh berbuat demikian semata-mata kerana kerajaan negeri menentang perjudian.
“Jika setiap permohonan kedai pertaruhan ditolak tanpa mengambil kira keadaan masing-masing, mahkamah mungkin membuat kesimpulan bahawa pihak berkuasa sedang melaksanakan larangan menyeluruh yang sama dengan menggunakan alasan lain,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, pengusaha premis perjudian boleh memohon kepada mahkamah untuk meneliti rekod mesyuarat majlis mesyuarat kerajaan negeri, pekeliling dalaman dan surat-menyurat bagi mengetahui sama ada PBT telah diarahkan supaya menolak permohonan sedemikian.
Ainul berkata, premis perjudian yang telah beroperasi di lokasi sama selama beberapa dekad juga boleh mencabar penolakan secara mengejut, khususnya jika mereka mematuhi peraturan pelesenan dan tidak mempunyai rekod aduan serius.
Pengusaha premis perjudian memerlukan lesen persekutuan untuk menjalankan perniagaan mereka serta lesen PBT untuk beroperasi di premis masing-masing. Kedah menghentikan pembaharuan lesen PBT mulai Januari 2023, sekali gus menghalang pengusaha yang memiliki lesen persekutuan daripada menjalankan perniagaan di negeri itu.
Mahkamah Rayuan pada Disember 2025 memutuskan bahawa larangan perjudian di seluruh negeri itu tidak sah selepas mendapati kerajaan negeri telah melampaui bidang kuasanya. Mahkamah Persekutuan menolak permohonan negeri itu untuk mendapatkan kebenaran merayu pada 12 Ogos.
Pada 18 Nov, Menteri Besar Sanusi Nor berkata Kedah akan menghormati keputusan mahkamah itu, namun menegaskan pendirian kerajaan negeri yang menentang aktiviti perjudian tidak berubah.
Beliau berkata, PBT akan menentukan tindakan yang boleh diambil dari segi undang-undang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Mansor Zakaria, turut berkata PBT boleh mempertimbangkan alasan seperti perancangan, pengezonan, keselamatan, kacau ganggu awam dan trafik ketika memproses permohonan lesen daripada premis perjudian.
Mudahkan kegiatan bookie haram
Pensyarah psikologi Universiti Malaysia Sabah, Balan Rathakrishnan, yang pernah mengkaji aktiviti perjudian di Malaysia berkata, penutupan premis itu boleh mengurangkan tabiat berjudi tetapi tidak semestinya menangani masalah ketagihan.
“Bagi individu yang sudah ketagih, penutupan premis fizikal mungkin tidak mengubah pemikiran atau tingkah laku perjudian mereka. Mereka mungkin terus mencari peluang lain untuk berjudi,” katanya.
Beliau berkata, sesetengah individu mungkin beralih kepada bookie haram, perjudian dalam talian atau premis perjudian di negeri lain.
Dengan merujuk kajian daripada Jerman pada 2022 yang dijalankan ketika sekatan Covid-19, Balan berkata 37.1% daripada individu yang membuat pertaruhan sukan berhenti daripada melakukan bentuk perjudian yang lebih berisiko, manakala antara 7.7% hingga 10.9% penjudi beralih kepada perjudian dalam talian, bergantung pada jenis perjudian.
Kajian di Finland juga mendapati sekatan terhadap mesin perjudian fizikal membantu mengurangkan perbelanjaan, dengan penurunan itu tidak diimbangi sepenuhnya oleh perjudian dalam talian.
Satu kajian di Czech pada 2025 mendapati hanya 5.5% pemain mesin perjudian elektronik yang terjejas akibat penutupan premis berhenti berjudi sepenuhnya.
Balan berkata, dapatan kajian di Eropah menunjukkan bahawa setiap individu memberikan tindak balas berbeza terhadap sekatan perjudian.
Beliau menggesa satu kajian dijalankan di Kedah bagi menentukan sama ada penutupan premis benar-benar mengurangkan masalah perjudian atau sekadar mengubah lokasi orang ramai membuat pertaruhan.
Balan turut menggesa kerajaan negeri menggabungkan sekatan dengan pendidikan, kaunseling, literasi kewangan dan program intervensi awal.
“Kejayaan sesuatu dasar perjudian tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan jumlah premis perjudian yang ditutup, sebaliknya sama ada semakin sedikit individu mengalami masalah perjudian, semakin sedikit keluarga berdepan kesusahan kewangan dan masyarakat menjadi lebih sihat serta berdaya tahan,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.