Kerusi KDMR, siapa ketuai cabaran kerjasama Warisan-STAR-KDM, kata penganalisis

Pembahagian kerusi terutama di kawasan mempunyai pengaruh besar pengundi Kadazan Dusun Murut dan Rungus (KDMR) serta persoalan siapa akan mengetuai kerjasama, antara cabaran utama Warisan, STAR dan KDM jika mahu berganding pada PRU16, kata penganalisis.
Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, isu kerusi boleh menjadi titik paling kritikal kerana ketiga-tiga parti mempunyai kepentingan dalam segmen pengundi yang sama.
Katanya, STAR dan KDM mempunyai kekuatan dalam kalangan pengundi KDMR, namun Warisan turut mempunyai sokongan dalam komuniti berkenaan, merujuk Parlimen Penampang yang pernah diwakili Timbalan Presiden Darell Leiking.
“Isu pembahagian kerusi pastinya menjadi halangan paling kritikal dan titik ujian utama kepada mana-mana pakatan atau kerjasama politik,” katanya kepada FMT.

Antara kerusi Parlimen yang mempunyai pengaruh pengundi KDMR ketara termasuk Kota Marudu, Tuaran, Penampang, Ranau, Keningau, Tenom dan Pensiangan.
Namun, Lee turut menjangkakan pertindihan juga bakal berlaku di kerusi bandar yang komuniti Cina menjadi antara pecahan pengundi terbesar.
“Warisan catat keputuan baik pada PRN lalu tetapi pasti ada akar umbi STAR juga mahu mencuba nasib di kerusi bandar,” katanya.
Lee berkata, cabaran lain turut melibatkan penyelarasan pendekatan politik dan usaha meyakinkan akar umbi untuk menerima kerjasama selepas sejarah persaingan antara parti terbabit.
“Mereka perlu mengetepikan persaingan dan perbezaan yang lalu untuk membentuk kerjasama utuh.”
Presiden Warisan, Shafie Apdal, pada Ahad memberi bayangan mengenai kemungkinan kerjasama dengan STAR dan KDM susulan kehadiran pemimpin kedua-dua parti pada persidangan Warisan di Sandakan.
STAR diwakili Pemangku Timbalan Presiden Lawrence Gimbang manakala KDM oleh Pemangku Presiden Priscella Peter.
Arvin Tajari daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berkata, persoalan siapa akan mengetuai kerjasama itu perlu diselesaikan selain isu pembahagian kerusi dan sokongan pengundi.

“Cabaran utama ketiga-tiga parti ini ialah soal kepimpinan, sokongan pengundi dan pembahagian kerusi,” katanya.
Arvin berkata, Shafie mempunyai kelebihan dari segi pengalaman politik dan Warisan yang dipimpinnya mempunyai jumlah kerusi terbanyak.
“Oleh itu, Shafie wajar diberikan peluang dan dibantu oleh Presiden STAR Jeffrey Kitingan dalam menarik sokongan pengundi KDMR di Sabah terutama pantai barat,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.