Onn Hafiz repot polis, SKMM dakwaan fitnah projek di Johor

Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi membuat laporan polis dan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung penyebaran dakwaan tidak benar mengenai projek pembangunan dan kemudahan awam di negeri itu.
Beliau berkata, tindakan itu susulan penemuan sejumlah akaun media sosial mencurigakan yang memuat naik pelbagai dakwaan, termasuk projek bernilai ratusan juta ringgit serta menyebut nama syarikat yang pelik dan meragukan.
Katanya, perkara lebih mencurigakan ialah kebanyakan akaun berkenaan menggunakan ayat dan naratif hampir sama, manakala sebahagian besarnya tidak mempunyai pengikut.
“Saya sentiasa terbuka menerima teguran, kritikan dan aduan daripada Bangsa Johor. Insya-Allah, setiap aduan akan disemak dan diambil tindakan.
“Tetapi kalau ada pihak yang sengaja menggunakan akaun palsu untuk mereka-reka cerita atau menyebarkan maklumat tidak benar bagi menghasut rakyat, perkara ini tidak boleh dipandang ringan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata laporan polis dan aduan kepada SKMM dibuat supaya siasatan dapat dijalankan terhadap kesahihan akaun terbabit, kandungan yang disebarkan serta kemungkinan wujud aktiviti yang dilakukan secara berkoordinasi.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berharap budaya politik matang dan bertanggungjawab terus diamalkan, khususnya ketika musim pilihan raya.
“Kita boleh berbeza pandangan, mengkritik dan tidak bersetuju, tetapi jangan sampai perbezaan politik dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah atau mengelirukan rakyat,” katanya.
Beliau turut menasihatkan rakyat Johor supaya lebih berhati-hati dengan maklumat yang tersebar di media sosial dan menyemak kesahihannya sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
Onn Hafiz berharap siasatan pihak berkuasa dapat membawa kepada tindakan sewajarnya bagi melindungi keharmonian serta kemakmuran negeri itu daripada penyebaran fitnah dan maklumat tidak benar.
“Kepada seluruh Bangsa Johor, saya nasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan menyemak kesahihan setiap maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.