Antara tak malu dan tak tahu malu


Dalam istilah Melayu, orang yang tak malu secara tradisionalnya bermaksud seseorang tidak berpelajaran atau yang kurang ajar.
Tetapi, pada zaman moden ini saya perhatikan orang Melayu masa kini tergolong dalam kategori ‘tak tahu malu’. Maaf, saya bukan nak menghina atau nak memperlekehkan bangsa sendiri, namun apabila melihat reaksi kepada isu Tabung Haji, isu tiga bekas PM kena tuduh di mahkamah dan kini pula isu Felda, saya nampak dua parti terbesar Melayu terbesar buat ‘dek’ saja.
Mereka terus memberi alasan kreatif seperti nak menghina kaum Melayu, tindakan terpilih, dan agenda menjatuhkan Islam di Malaysia.
Bagi saya kalau Melayu nak jadi tuan dalam konsep ketuanan Melayu, mesti ada ‘expectation’ dan KPI yang tinggi dan hebat. Apabila ‘expectation’ dan KPI tak menjadi, maka perlulah ada perasaan malu sendiri dan membuat kenyataan memperbaiki situasi di masa depan.
Saya ingat lagi reaksi Dr M semasa beliau menjadi PM kali pertama. Ketika itu, terjadi ‘black out’ elektrik seluruh negara atau Kuala Lumpur saja, saya tak pasti. Bekalan terputus berlarutan satu malam kalau tak salah saya. Keesokan, perkara itu dibaiki dan elektrik kembali semula.
Di televisyen, saya lihat muka Dr M seperti muram dan sedikit ‘marah’, tetapi kata-kata beliau masih terngiang-ngiang di telinga saya. Apabila ditanya pemberita apakah reaksinya terhadap insiden tersebut, beliau memandang ke kamera dengan serius dan perasaan ‘meluat’ serta berkata,
“Saya malu!”
Satu ungkapan saja, tuan-tuan semua. ‘Just one line, a very very short one’. Saya malu.
Kalau kita membaca buku Tun M seperti ‘A Doctor in the House’, kita akan mengkagumi budaya kerja beliau. Tun M adalah orang yang ‘no-nonsense’ dan ‘hands on’. Berbeza dengan bosnya yang dulu Tun Hussein Onn yang tak berapa suka gayanya. Beliau akan turun ke padang melihat sendiri apa masalah sebenar.
Dia pernah turun ke kilang untuk tengok masalah produksi. Beliau berjalan kaki melihat lampu jalanan dan akan bertanya kenapa ada satu dua tak hidup? Orang yang biasanya menggelupur adalah orang Melayu yang jadi datuk bandar atau Yang Dipertua.
Saya juga pernah dengar cerita dari kawan-kawan menteri Pakatan Harapan pada 2018 hingga 2020. Mereka kata semua kecut perut kalau Tun M bawa keluar ‘his little black book’ dan dia mula sebut kecacactan beliau nampak atau tahu sendiri. Biasanya menteri berkenaan akan tersipu-sipu mengambil nota dan agaknya terus WhatsApp pegawai tadbir berkenaan untuk tindakan segera.
Itu budaya Tun M. Beliau percaya kepada kerja berilmu dan kerja keras serta bersungguh-sungguh. ‘Failure is not an option’. Itu baru Melayu yang saya hormati.
Ungkapan Dr M ‘saya malu’ bagi saya bermakna, beliau sendiri rasa bertanggungjawab, walhal bukan dia yang jaga suis dan wayar elektrik. Tetapi, beliau ketua negara dan ‘the buck stops with him’. Tidak seperti pemimpin lain yang mungkin berkata ‘ini ada cubaan malukan parti Melayu’ atau ‘saya tak nampak pun ada isu pentadbiran cuai dalam hal ini, mungkin ada terkena panah kilat kut’. Tidak begitu, Dr M ambil tanggungjawab penuh dengan ungkapan ‘saya malu’.
Melayu masa kini, walau pakai songkok atau pakai ketayap putih, satu sen pun saya nampak tak boleh pakai.
Apa tidaknya. Bila RCI Tabung Haji menunjukkan kepincangan urus tadbir entiti Melayu itu, sibuk pemimpin Melayu yang sebut ayat Quran tunggang langgang membina naratif RCI cuba menjatuhkan maruah orang Melayu. Macam ini bila kita Melayu nak rasa malu? Saya lihat dalam kalangan Melayu lain pun dalam kumpulan WhatsApp tak ada yang berbual mengenai RCI Tabung Haji dan di kenduri atau kedai mamak pun sama juga.
Lepas itu kita tengok suatu pemandangan sungguh unik. Tiga bekas perdana menteri dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memalukan bangsa, sepatutnyalah. Bab itu pun saya lihat media sosial tak banyak komen langsung. Yang banyak pasal bendera terbaliklah, yang banyak isu DAP yang tak habis-habislah, apa lagi.
Ada satu parti Melayu itu buat muktamar, takbir sana dan takbir sini. Parti tu dah bersedia nak ambil alih kerajaan federal. Dah ada pun calon PM. Dah siap pun barisan menteri serta lantikan lain yang portfolio ada atau tidak dan penting atau tidak, wallahuaam.
Bila kita semua tunggu perancangan dan cadangan polisi pasal pendidikan ke pasal kesihatan ke atau pasal membasmi kemiskinan, orang utara kata ‘habuk pun takdak’. Yang ada si pemimpin Melayu buat dasar hanya orang Islam yang boleh mengetuai semua kementerian penting yang katanya ada kaitan dengan orang Islam. Yang pasal hutan atau jalan raya bolehlah bagi kat orang bukan Melayu. Itu rupanya dasar utamanya.
Jadi tuan-tuan kalau tak tahu malu pasal kesalahan rasuah, kesalahan sakau, dan kesalahan ‘creative accounting’, apa yang patut kita harapkan kepada pemimpin Melayu kita dalam dua buah parti terbesar? Nampak macam dah gerenti pihak parti berdua ini akan menang sebab orang Melayu banyak tak tahu menilai kepimpinan berwibawa dan bertanggungjawab.
Orang Melayu yang ada PhD atau yang jadi penghantara pizza nampak macam sama saja, asalkan Melayu yang bukan dari DAP atau parti lain, hanya yang hijau dan yang merah berkeris saja ‘valid’. Sama ada Melayu ini bila jadi pemimpin tahu bila nak malu kalau kerja tak terbuat, itu belakang kira.
Jadi, pada Hari Malaysia ini apakah taruhan harapan kita untuk masa depan Malaysia dan semua rakyatnya kalau tak berani macam Dr M untuk berkata, “saya malu”.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.