Dedah gaji akan beri kesan kepada syarikat kecil, kata kumpulan niaga

Kerajaan sepatutnya membenarkan syarikat kecil membuat pendedahan jumlah gaji secara sukarela bukan mewajibkannya, kata persatuan perdagangan dan persekutuan majikan.
Mereka berkata, syarat mewajibkan syarikat kecil menerbitkan julat gaji boleh membawa kesan sebaliknya, seperti menjauhkan pencari kerja serta mendedahkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada risiko pekerja diburu syarikat lebih besar yang mempunyai sumber kewangan lebih kukuh.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) William Ng, berkata syarikat berkenaan beroperasi menggunakan struktur gaji anjal yang terikat dengan kemahiran individu serta impak perniagaan, bukannya sistem gred tegar, sekali gus menjadikan kaedah pendedahan secara menyeluruh itu sesuatu tidak praktikal.
“Jika pendedahan diwajibkan, syarikat kecil yang sememangnya sudah dilihat kurang menarik sebagai majikan mungkin akan disisihkan pencari kerja, sebelum mereka sempat menawarkan cadangan nilai berbentuk bukan kewangan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, pendedahan awam yang diwajibkan membolehkan syarikat besar yang ada kewangan besar menjadikan tawaran PKS sebagai penanda aras, lalu menawarkan gaji 10% hingga 20% lebih tinggi untuk memburu pekerja berpengalaman.
“PKS sudah pun menanggung beban melatih graduan baharu dan kakitangan junior, malah sering bertindak sebagai medan latihan de facto negara. Membuka julat gaji tanpa pertumbuhan seiring produktiviti hanya akan memacu aliran keluar bakat dengan lebih pantas,” katanya.
Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Syed Hussain Syed Husman, berkata persekutuan itu secara prinsip menyokong ketelusan gaji, namun memberi peringatan bahawa rejim mandatori akan membebankan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan kos pematuhan.
“Syarikat besar umumnya mempunyai sistem sumber manusia (HR), struktur gaji, serta keupayaan penandaarasan pasaran yang mantap. Kebanyakan PMKS tidak mempunyai sumber sama,” kata Syed Hussain.
Beliau mencadangkan pelaksanaan secara berperingkat dan sukarela bermula dengan majikan berskala lebih besar, disertai garis panduan jelas serta pengecualian bagi perniagaan kecil, sekiranya kerangka kerja mandatori akhirnya diperkenalkan.
Syed Hussain turut memberi peringatan bahawa pendedahan tanpa langkah perlindungan boleh mencetuskan aktiviti pemburuan pekerja secara agresif, inflasi gaji, dan ketegangan di tempat kerja akibat perbandingan gaji. “Ketelusan sepatutnya membina kepercayaan, bukannya menjejaskannya. Objektifnya adalah untuk memberikan maklumat lebih baik kepada pekerja mengenai nilai pasaran kemahiran mereka, selain mengekalkan kerahsiaan gaji yang munasabah,” katanya.
Menteri Ekonomi Akmal Nasir dilaporkan berkata dalam satu forum pada 7 Sept, bahawa pihaknya sedang meneroka pendekatan untuk menjadikan tawaran gaji lebih telus dan adil, berbanding menetapkan sasaran gaji mutlak. Beliau berkata, perlu ada syarat bagi memastikan tawaran gaji dibuat secara lebih telus dan saksama.
Inisiatif itu selaras matlamat kerajaan meningkatkan gaji penengah, yang kini berada pada sekitar RM3,600 serta memastikan pertumbuhan ekonomi membawa kepada peningkatan gaji nyata kepada pekerja.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.