Sarawak perlukan Abang Jo hingga 2030, kata veteran PBB

Seorang veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) merayu Premier Sarawak Abang Johari Openg supaya tidak berundur daripada jawatan itu, selepas presiden PBB itu beri bayangan bahawa ini mungkin tahun terakhir beliau memegang jawatan.
Peter Minos dari PBB berkata pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu perlu berkhidmat untuk satu penggal penuh lagi dan memimpin negeri Borneo itu sehingga 2030, lapor Borneo Post.
Abang Johari berusia 80 tahun pada 2030.
“Terus terang, kita memerlukan premier kita yang benar-benar baik dan cemerlang untuk satu penggal lagi. Itu bermakna lima tahun lagi dari sekarang.
“Saya masih percaya penggal terakhir beliau dalam jawatan sepatutnya sehingga 2030. Saya fikir itu masa yang tepat,” kata pengerusi Majlis Daerah Serian itu yang dipetik sebagai berkata.
Minos berkata ramai rakyat Sarawak sudah bertanya siapa yang akan mengambil alih jawatan premier daripada Abang Johari, sambil berkata pengerusi GPS itu telah menetapkan standard yang ‘amat tinggi’.
“Ia begitu tinggi sehingga hampir mustahil untuk mencari pemimpin lain yang setara atau lebih baik (daripada Abang Johari). Dalam PBB, sudah tentu terdapat beberapa orang yang berkaliber untuk jawatan itu,” katanya.
Pada Ahad, Abang Johari berkata PBB sedang mempersiapkan generasi pemimpin baharu bagi memastikan peralihan yang lancar, sambil menambah bahawa peralihan kepimpinan tidak dapat dielakkan.
Abang Johari turut memberi bayangan bahawa beliau mungkin tidak lagi berkhidmat sebagai premier Sarawak selepas PRN akan datang, dengan berkata: “Mungkin ini tahun terakhir saya. Anda tidak boleh melawan fitrah, walaupun hati anda masih muda.”
Tempoh DUN Sarawak berakhir pada Februari, melainkan ia dibubarkan lebih awal, selepas itu pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Abang Johari menjadi premier Sarawak sejak Januari 2017, apabila beliau mengambil alih jawatan itu daripada Adenan Satem yang meninggal dunia akibat serangan jantung ketika masih memegang jawatan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.