Cadangan Bersama apung harga minyak tak realistik, kata Pemuda DAP

Pemuda DAP menyifatkan cadangan Bersama mengapungkan harga minyak mengikut pasaran tidak realistik kerana berisiko meningkatkan kos sara hidup rakyat.
Naib Ketua Pemuda Raja Ahmad Iskandar Fareez, berkata cadangan jurucakap Bersama, Sum Dek Joe, untuk mengapungkan harga petrol apabila harga minyak mentah turun di bawah USD70 setong tidak mengambil kira ketidaktentuan pasaran minyak dunia.
“Bagaimana jika harga minyak mentah tidak pernah turun di bawah USD70 setong? Adakah Bersama akan terus menunggu, atau mengapungkan harga sekarang sehingga keluarga yang bekerja terpaksa membayar RM4.32 seliter?” katanya dalam kenyataan.
Raja Ahmad berkata, konflik yang semakin meluas di Asia Barat serta serangan di rantau Teluk menjadikan pergerakan harga minyak sukar diramal.
Terdahulu, Sum berkata ada pihak berhujah penghapusan subsidi bahan api boleh mencetuskan ketidakstabilan sosial, namun tidak bermakna kerajaan perlu berdiam diri tanpa mengambil tindakan.
Beliau mencadangkan harga petrol diapungkan selepas harga minyak mentah dunia turun di bawah USD70 setong, dengan bantuan tunai bulanan disalurkan kepada isi rumah selama tiga bulan terlebih dahulu.
Raja Ahmad turut memberi amaran kenaikan mendadak harga RON95 mampu mencetuskan kesan berantai terhadap ekonomi, termasuk peningkatan kos pengangkutan, logistik, penghantaran makanan, dan barangan keperluan harian.
Katanya, cadangan Bersama untuk memberikan bantuan tunai kepada 80% isi rumah juga belum tentu cukup menampung kenaikan kos tersebut.
“Bagaimana Bersama mahu menghalang kos ini daripada dipindahkan kepada pengguna dan memastikan inflasi terus terkawal?
“Masalahnya, pasaran minyak tidak bergerak mengikut jadual sesiapa, apatah lagi ketika konflik semakin meluas di Asia Barat, serangan berlaku di rantau Teluk dan risiko geopolitik berada pada tahap yang sangat tinggi,” katanya.
Raja Ahmad berkata, pendekatan kerajaan melalui BUDI95 dan BUDI Diesel lebih sesuai kerana membolehkan subsidi diselaraskan mengikut keadaan pasaran, tanpa membebankan pengguna biasa.
Beliau berkata, mekanisme itu memastikan mereka menggunakan lebih banyak bahan api membayar harga lebih hampir kepada kos sebenar, selain mengurangkan ketirisan subsidi kepada sindiket komersial, penyeludup rentas sempadan, dan warga asing.
Katanya, pembinaan rangkaian pengangkutan awam yang selamat dan boleh dipercayai, termasuk kemudahan perhubungan perjalanan akhir, memerlukan masa bertahun-tahun untuk disiapkan.
“Dalam menggubal dasar, kita tidak boleh menganggap keadaan sentiasa sempurna, menggunakan formula yang terlalu tegar dan mengabaikan realiti di lapangan.
“Sehingga rangkaian pengangkutan awam itu tersedia, meminta rakyat membayar RM4.32 seliter di pam cukup membebankan isi rumah kurang berkemampuan,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.