PRN Melaka: Azmin bayang persefahaman lebih terbuka Bersatu-PH

Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali membayangkan persefahaman lebih bersifat terbuka antara parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) pada hujung kempen PRN Melaka, sambil menegaskan Bersatu tidak boleh bersendirian.
Katanya, perkara itu mungkin dinilai jika kedua-dua parti menganggap ia strategi terbaik, walaupun tiada sebarang pendirian rasmi mengenai kerjasama mereka di Melaka sehingga kini.
Beliau turut mengakui dalam konteks lebih menyeluruh, Bersatu tidak boleh bergerak sendirian, sebaliknya perlu bekerjasama dalam mewujudkan kestabilan.
“Kita tidak dapat menentukan apa yang akan berlaku di penghujung tempoh berkempen. Tetapi, pengalaman saya dalam banyak pilihan raya, di penghujung tempoh berkempen ini biasanya pengundi sudah pun mengambil pendirian, selepas mereka menilai manifesto ataupun tawaran yang dibuat calon.
“Maka pada saat-saat akhir itu, saya kira mereka sudah ada pendirian cuma parti politik biasanya menggunakan kesempatan itu untuk menzahirkan satu persepsi yang lebih positif.
“Kalau itulah strategi yang terbaik, kita mungkin dapat menilai pada masa yang berkenaan. Pada ketika ini, setiap calon dan parti Bersatu sedang giat berkempen di setiap daerah mengundi dan lokaliti,” katanya kepada Berita Harian.
Pada PRN Melaka, Bersatu bertanding di tujuh kerusi iaitu Lendu, Sungai Udang, Pantai Kundor, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, dan Bemban.
Pada masa sama, Azmin berkata, walaupun tidak membentuk sebarang gabungan di Melaka, namun Bersatu mempunyai persefahaman, sebelum menetapkan jumlah kerusi mahu ditandingi.
“Jadi dalam konteks ini, Bersatu juga mengambil pendirian selepas kita teliti dan bincang, kita bersetuju bahawa Bersatu tidak boleh bersendirian.
“Bersatu mesti bergerak dengan satu kerjasama politik ataupun gabungan yang dapat menjamin kestabilan bagi negeri dan juga negara.
“Bagi PRN Melaka, kita belum bergabung ataupun mempunyai apa ini gabungan dengan mana-mana parti, tetapi sudah tentulah kita ada persefahaman bagi menentukan kerusi ditandingi,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.