ESPN DeportesRays arma rally tras error e iguala serie a GuardiansInquirerHouse bill renews Cebu Pacific franchise for 50 yearsThe Jerusalem PostFemale IDF officer denied entry to Haredi military base because of gender, IDF saysESPNUSWNT's never-say-die DNA on full display in rally for draw with SpainDaily MaverickIsle of Wight fossil sheds light on enigmatic meat-eating dinosaursPunchEguavoen wants Falcons focus on LA 2028 gold한겨레선관위특검, 중선관위 등 5곳 압수수색…선거용품 업체와 유착 혐의ZDF heuteEntdecken Sie das ZDF-NachrichtenstudioSportstarRanji Trophy LIVE score today: Karnataka, Tamil Nadu in with a chance; Delhi, Kerala on the backfootThe Hollywood ReporterBen Affleck Calls Filming ‘Justice League’ a “Low Point” in His Career: “About as Gross as It Gets”Daily MailFour out of five new jobs went to foreigners in the past decade, new report revealsسكاي نيوز عربيةمسؤولان: طهران تغير أسلوب استهداف السفن تزامنا مع الانتخابات
The Daily Newsstand · Free, Always
Wednesday, October 14, 2026

Agenda hijau IGEM mendekati kehidupan rakyat

Translate

Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau serta Eko Antarabangsa Malaysia atau IGEM 2026 yang berlangsung selama tiga hari melabuhkan tirainya pada 9 Okt lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Acara itu merekodkan hampir 65,000 pengunjung, penyertaan dari 57 negara dan 18 memorandum persefahaman.

Ini acara besar. Fokusnya kepada pembuat dasar dan pemain industri. Orang biasa yang pergi akan ‘pening’ sikit. Banyak benda ‘pelik’.

Namun, paling penting selepas dewan dikosongkan, bagaimana agenda hijau ini dapat diteruskan dalam kehidupan rakyat?.

Walaupun menghimpunkan puluhan ribu pengunjung, persoalannya ialah sejauh mana agenda yang dibincangkan di IGEM sampai kepada masyarakat di luar lingkungan industri dan pembuat dasar.

Bagi mereka yang kurang terdedah kepada bidang ini, teknologi hijau mungkin lebih mudah dikaitkan dengan kenderaan elektrik dan panel solar.

Kedua-duanya mudah dilihat, tetapi tidak semua keluarga mampu membeli kereta elektrik atau memasang solar.

Jika gambaran hijau terhenti di situ, kelestarian boleh terasa jauh daripada keperluan mereka.

Sedangkan bagi sebuah keluarga yang sedang mengurus belanja bulanan, persoalan lebih dekat ialah bagaimana mengurangkan bil elektrik, mengelakkan pembaziran makanan dan memastikan rumah selesa untuk anak-anak.

Di sinilah agenda hijau perlu diterangkan dengan bahasa kehidupan.

Teknologi hijau merangkumi penggunaan tenaga dan air yang lebih cekap, pengurusan sisa serta produk yang mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Amalan kehidupan hijau pula melibatkan cara kita menggunakan kemudahan tersebut dan mengurus sumber.

Hubungannya boleh bermula dari dapur: membeli makanan mengikut keperluan, menyimpan bahan dengan betul dan mengasingkan sisa.

Di ruang keluarga, pilihannya mungkin menggunakan peralatan dengan cekap atau membaiki barangan yang masih boleh digunakan.

Langkah seperti ini memberikan masyarakat ruang untuk mengambil bahagian mengikut kemampuan.

Mendekatkan agenda tersebut kepada rakyat merupakan sebahagian daripada tujuan IGEM sejak diperkenalkan pada 2010.

Selepas 16 tahun, apakah yang telah dicapai?

Pencapaian paling jelas ialah pembinaan platform berterusan untuk kerajaan, industri, penyedia teknologi dan pelabur bertemu.

Laman rasmi IGEM melaporkan lebih RM86 bilion peluang perniagaan dan lebih 700,000 kehadiran terkumpul sejak penganjuran pertama.

Angka itu menunjukkan jangkauan serta minat terhadap ekonomi hijau. Namun, peluang perniagaan tidak boleh disamakan dengan pelaburan yang sudah dilaksanakan.

Gambaran pencapaiannya akan lebih lengkap melalui rekod projek yang beroperasi, teknologi yang digunakan dan manfaat alam sekitar yang dapat diukur.

Terdapat juga petunjuk manfaat pada peringkat ekosistem. Jawapan Kementeri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Dewan Rakyat pada November 2025 menyatakan penjanaan pelaburan hijau RM7.883 bilion dan lebih 2,000 peluang pekerjaan hijau pada 2024.

Angka tersebut melibatkan gabungan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (Gita), Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) dan IGEM. Keseluruhannya tidak boleh dikreditkan kepada pameran ini sahaja.

Jawapan sama mengakui cabaran pembiayaan perusahaan kecil dan sederhana, kekurangan tenaga mahir serta keperluan meningkatkan kesedaran masyarakat.

Keperluan terakhir itu menjadikan pembaharuan IGEM 2026 lebih bermakna.

Di bawah kepimpinan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup, NRES bersama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) memperkenalkan ‘Sustainable Lifestyle Showcase’ buat pertama kali.

Segmen gaya hidup lestari ini menghubungkan agenda hijau dengan fesyen, makanan, kecantikan dan penjagaan diri.

Penyertaan jenama seperti L’Oréal Groupe, The Body Shop dan Siti Khadijah membuka ruang membincangkan kelestarian melalui barangan yang dikenali serta digunakan masyarakat.

Pengguna mungkin kurang biasa dengan ‘kredit karbon’, tetapi mereka memahami pakaian, makanan dan pembungkusan.

Melalui perkara tersebut, perbincangan boleh berkembang kepada sumber bahan, pengeluaran bertanggungjawab, penggunaan semula dan pengurusan sisa.

Namun, maklumat mesti jelas. Pengguna perlu dapat menilai dakwaan mesra alam, ketahanan produk dan kos penggunaannya.

Bagi keluarga yang mempunyai bajet terhad, pilihan lestari perlu menawarkan manfaat yang dapat difahami serta sesuai dengan rutin mereka.

Pengisian tersebut memperlihatkan peranan MGTC sebagai penganjur bersama dan agensi pelaksana, dengan NRES selaku penganjur IGEM.

Pembaharuan gaya hidup tahun ini meneruskan usaha pendidikan interaktif yang sudah diperkenalkan pada 2025, sambil membuka ruang lebih luas untuk penglibatan masyarakat.

Pada masa sama, Arthur menekankan tadbir urus melalui cadangan perakaunan karbon mandatori di bawah Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara yang bakal diperkenalkan.

Pendekatan dasar dan pendidikan pengguna boleh saling melengkapi: industri memerlukan aturan yang jelas, sementara rakyat memerlukan maklumat untuk membuat pilihan.

Untuk mengukuhkan hubungan itu, dicadangkan pada edisi akan datang disediakan demonstrasi “rumah hijau mampu milik”, lengkap dengan dapur, bilik air dan ruang keluarga.

Pengunjung dapat membandingkan kos, memahami penggunaan peralatan dan membawa pulang panduan mudah menjimatkan tenaga serta mengurangkan pembaziran.

Pengalaman tersebut boleh disusuli program bersama sekolah, pihak berkuasa tempatan, persatuan penduduk dan komuniti kampung.

Bengkel membaiki barangan, mengasingkan sisa atau mengurus makanan berlebihan akan membantu meneruskan pendidikan selepas pameran.

Video pendek dan panduan praktikal pula boleh dikongsi sepanjang tahun.

Disebalik pelaksanaan acara, Ideas Integrated Sdn Bhd, syarikat Bumiputera yang menjadi tulang belakang IGEM 2026, turut menyumbang kepada usaha NRES dan MGTC.

Peranannya memperlihatkan sumbangan kepakaran tempatan dalam menjayakan platform antarabangsa yang kini memperluas pendekatannya kepada kehidupan masyarakat.

Selepas 16 tahun, IGEM telah membina ruang penting untuk dasar, teknologi dan peluang ekonomi hijau.

Pembaharuan di bawah kepimpinan Arthur dan pelaksanaan MGTC membawa ruang itu lebih dekat kepada rakyat.

Kejayaan seterusnya ialah apabila pengetahuan yang di bawa pulang membantu sebuah keluarga mengurangkan pembaziran, mengurus belanja dan menjaga persekitarannya sepanjang tahun.

Penulis ialah pengamal komunikasi strategik yang pernah berkhidmat sebagai wartawan, setiausaha akhbar menteri dan pegawai khas komunikasi strategik dan media kepada perdana menteri kesembilan.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.