Jika tak setuju pakatan di Selangor boleh keluar, Adun Bersatu diberitahu

Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor, Mohd Rafiq Mohd Abdullah, menyelar pihak yang mengkritik keputusan parti itu untuk memeterai kerjasama dan menyokong kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Rafiq berkata keputusan itu dibuat melalui Biro Politik Bersatu dan Adun pula perlu memainkan peranan sebagai ahli parti untuk akur dengan hala tuju yang ditentukan oleh pucuk pimpinan.
“Seperti mana dalam Perlembagaan parti, tidak kira seseorang itu wakil rakyat, Adun atau Ahli Parlimen, dia tertakluk kepada keputusan dan arahan parti.
“Kalau tak setuju boleh keluar, keputusan parti bukan peribadi,” katanya yang dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata.
Adun Kuang itu juga berkata, kerjasama tersebut bukan perkara baharu, malah Barisan Nasional (BN) juga bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan perpaduan.
Menteri Besar, Amirudin Shari, minggu lalu mendedahkan Adun Bersatu akan memeterai kerjasama dengan kerajaan negeri sebelum Belanjawan Selangor dibentangkan, dengan terma-termanya kini sedang dimuktamadkan.
Pengumuman itu dibuat ketika ketegangan antara PH dan BN, rakan penting dalam kerajaan persekutuan dan kerajaan Selangor, semakin memuncak.
Perkara itu dikritik oleh Adun Permatang daripada Bersatu, Nurul Syazwani Noh, yang berkata Adun parti itu tidak dimaklumkan mengenai perjanjian tersebut.
Nurul, yang dilihat tidak sehaluan dengan kepimpinan Bersatu, berkata beliau tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri jika langkah itu memberikan manfaat kepada rakyat, tetapi peranan pembangkang dalam menyediakan semak dan imbang mesti diteruskan.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Bersatu Selangor, Noorazley Yahya, berkata Adun Bersatu akan terus berfungsi sebagai pembangkang yang akan melaksanakan fungsi semak dan imbang, meskipun pakatan itu dimeterai.
Beliau mengesahkan perkara itu tidak dibincangkan dengan 11 Adun parti, tetapi berkata biro politik Bersatu telah memberikan mandat kepada pengerusi negeri, Azmin Ali, untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan Selangor.
Noorazley, Adun Bukit Melawati, berkata pakatan itu tidak bersifat politik kerana ia hanya menyokong Amirudin dan kerajaan negeri.
“Kita bukan masuk PH. Sokongan itu pun sudah lama digerakkan sebelum kedua-duanya membuka pintu untuk berbincang dengan matlamat antaranya memastikan kebajikan rakyat terpelihara,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.