Jabatan Penjara tunggu arahan rasmi sebelum laksana tahanan rumah Najib

Jabatan Penjara Malaysia masih menunggu pemakluman rasmi secara bertulis berhubung keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas perdana menteri Najib Razak sebelum tindakan lanjut diambil.
Katanya, pemakluman dan dokumen rasmi berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) akan disampaikan melalui saluran rasmi sebelum dikemukakan kepada Jabatan Penjara untuk tindakan selanjutnya.
“Sehubungan itu, selaras kenyataan Saifuddin Nasution Ismail, menteri dalam negeri pada 19 Sept 2026, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Penjara Malaysia masih menunggu pemakluman rasmi secara bertulis berhubung keputusan tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut bagi melaksanakan keputusan berkenaan dapat ditentukan,” katanya dalam kenyataan.
Pada 18 Sept lalu, LPWP membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 menerusi pengampunan bersyarat.
Keputusan itu tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat ditetapkan.
Sementara itu, Jabatan Penjara berkata pihaknya sentiasa bersedia melaksanakan arahan rasmi yang diterima daripada pihak berkuasa berkaitan.
Katanya, pelaksanaan itu akan dibuat selaras peruntukan undang-undang, peraturan penjara serta tatacara dan prosedur yang sedang berkuat kuasa.
“Jabatan ini akan melaksanakan sebarang keputusan dan arahan yang diterima secara teratur, profesional dan berintegriti, selaras dengan peruntukan undang-undang serta ketetapan pihak berkuasa yang berkenaan,” katanya.
Jabatan Penjara turut menyeru semua pihak merujuk sumber rasmi dan tidak membuat spekulasi mengenai pelaksanaan keputusan berkenaan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.