1 maut, 8 cedera lapangan terbang Arab Saudi diserang

Seorang maut dan lapan yang lain cedera dalam serangan lewat Rabu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd di Dammam, timur Arab Saudi, menurut pihak berkuasa penerbangan awam negara itu, lapor Anadolu Ajansi.
Menurut Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA), mangsa yang cedera digegaskan ke hospital untuk rawatan dengan keadaan mereka cedera ringan atau parah.
Serangan itu juga menyebabkan kerosakan material yang masih dinilai pihak berkuasa, tambahnya, dengan mengatakan kemas kini lanjut akan menyusul.
Pihak berkuasa berkenaan tidak memberikan butiran lanjut mengenai serangan itu.
Awal Rabu, Kementerian Tenaga Arab Saudi memaklumkan dua orang terbunuh dan dua lagi cedera akibat serpihan yang jatuh selepas pertahanan udara memintas dron yang menyasarkan kemudahan Aramco di medan minyak Shaybah di Wilayah Timur.
Serpihan itu menyebabkan kebakaran kenderaan kontraktor namun operasi di medan minyak tidak terjejas, menurut kementerian tersebut.
Gabungan diketuai Arab Saudi turut mengumumkan pada Rabu, ia memintas dan memusnahkan lima dron yang dilancarkan ke arah kerajaan itu termasuk di Wilayah Timur dan Madinah.
Lapangan Terbang Antarabangsa King Fahd sebelum ini diserang pada 11 Okt yang membawa kepada penilaian kerosakan dan pemeriksaan keselamatan.
Insiden berlaku di tengah-tengah permusuhan yang semakin meningkat antara kumpulan Houthi Yaman dengan gabungan pimpinan Arab Saudi termasuk serangan yang menyasarkan lapangan terbang Saudi dan kemudahan tenaga.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.