Jangan henti khidmat kepada pengundi walau tiada jawatan rasmi, kata Loke

Pemimpin DAP di Negeri Sembilan perlu terus berkhidmat kepada rakyat walaupun tidak lagi memegang jawatan rasmi, kata Setiausaha Agungnya Loke Siew Fook.
Loke berkata bekas ahli majlis tempatan dan ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu terus membantu penduduk yang mendapatkan bantuan daripada mereka.
“Jika pengundi datang minta bantuan, tolong lakukan sedaya upaya untuk membantu mereka. Jangan kata sekarang saya bukan lagi sebahagian daripada kerajaan negeri atau majlis tempatan, jadi saya tidak boleh membantu,” katanya dalam ucapan pada konvensyen DAP Negeri Sembilan di Seremban.
“Itu bukan cara yang betul. Jika orang masih mendapatkan bantuan kita walaupun kita bukan lagi sebahagian daripada kerajaan negeri, ini menunjukkan mereka masih yakin terhadap DAP dan Pakatan Harapan.”
Loke turut menggesa Ahli Parlimen dan Adun DAP di negeri itu supaya menyokong pemimpin akar umbi dalam memberikan khidmat kepada masyarakat.
“Walaupun kita tidak lagi mempunyai peruntukan negeri, itu tidak bermakna kita tidak boleh berbuat apa-apa.
“Kita pernah menjadi pembangkang selama berpuluh-puluh tahun dan tidak menerima peruntukan. Namun, kita mencari jalan untuk terus berkhidmat kepada rakyat.”
DAP kini memegang sembilan kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding 11 kerusi yang dimenanginya pada PRN 2023. Parti itu kehilangan kerusi Chennah dan Repah kepada MCA dalam pilihan raya Ogos lalu.
Loke, yang melepaskan jawatan pengerusi DAP Negeri Sembilan selepas kalah di Chennah, turut berkata beliau tidak akan mempertahankan kerusinya dalam jawatankuasa negeri apabila pemilihan kepimpinan bahagian itu diadakan tahun depan.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memberi laluan kepada muka baharu untuk memimpin DAP negeri, selain membolehkannya menumpukan perhatian kepada kepimpinan parti di peringkat kebangsaan.
Loke turut mengimbas perkembangan DAP Negeri Sembilan sepanjang 22 tahun lalu, daripada hanya memenangi dua kerusi negeri pada PRU 2004 kepada kejayaan memperoleh kerusi Parlimen dan DUN dalam pilihan raya berikutnya, sebelum mengambil alih kerajaan negeri pada 2018.
Menurutnya, beliau berbesar hati kerana berpeluang memimpin DAP negeri selama 22 tahun dan menyokong keperluan menyerahkan tanggungjawab kepada pemimpin baharu.
“Walaupun baru menjadi ketua negeri, (J Arul Kumar) mempunyai pengalaman luas kerana pernah bekerja dengan saya selama 10 tahun. Saya yakin di bawah kepimpinan Arul, DAP Negeri Sembilan akan terus maju dan mencapai kejayaan.”
Loke turut menggesa DAP Negeri Sembilan supaya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berikutan ketidaktentuan politik di negeri itu, ketika Menteri Besar Ismail Lasim kini tidak mempunyai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) untuk membantunya.
“Kita perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk pilihan raya negeri. Kita tidak tahu sama ada perkara itu akan berlaku. Namun, kita perlu membuat persediaan.
“Fokus kita bukanlah masalah yang dihadapi pihak lawan … sebaliknya, tumpuan kita harus diberikan kepada usaha memperkukuh parti,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.