Umno ada pemimpin lain layak jadi PM selain Zahid, kata penganalisis

Walaupun Presiden Umno Zahid Hamidi disebut sebagai ‘bakal perdana menteri’, seorang penganalisis politik berpandangan parti itu mempunyai beberapa pemimpin lain yang juga mampu menerajui negara dan tidak dibebani kontroversi sama.
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata Umno tidak perlu mengetepikan Zahid sebagai presiden, namun parti teras Barisan Nasional (BN) itu wajar memberi lebih banyak ruang kepada beberapa pemimpin kanannya.
Menurutnya, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan atau Tok Mat, serta Naib Presiden Johari Ghani dan Khaled Nordin antara pemimpin yang berkemampuan mengambil alih kepimpinan parti apabila tiba masanya.
“Umno perlu menawarkan pilihan. Parti itu mempunyai barisan pemimpin yang sangat berkebolehan untuk menggantikan Zahid apabila tiba masanya, seperti Tok Mat dan Johari.

“Kedua-duanya pemimpin yang sangat berkebolehan dan dilihat tidak mempunyai beban atau liabiliti seperti Zahid,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata langkah memberi lebih banyak ruang kepada pemimpin berkenaan juga boleh menjadi strategi untuk membantu Umno menampilkan imej yang lebih bersih dan tegas dalam isu rasuah, selepas beberapa pemimpinnya sebelum ini dikaitkan dengan kes rasuah.
Zahid sendiri masih belum memperoleh pembebasan penuh dalam kes Yayasan Akalbudi.
Beliau dilepaskan tanpa dibebaskan DNAA pada September 2023 bagi 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah, dan kemudian memohon pembebasan penuh.
“Dalam keadaan ini, Umno memerlukan barisan pemimpin baharu, termasuk Khaled, bagi menunjukkan parti itu tidak kembali kepada cara lama dengan membiarkan isu rasuah membayangi kepimpinannya,” kata Azmi.
“Saya fikir perkara ini sangat penting sekiranya Umno dan PAS mahu membentuk kerajaan Persekutuan dengan sokongan parti Borneo seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).”
Minggu lalu, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyifatkan Zahid sebagai seorang yang berpotensi menjadi ‘prime minister-in-waiting’ susulan ucapan dasar presiden Umno itu pada perhimpunan agung parti.
Khairy, yang juga bekas menteri, turut menyifatkan ucapan itu sebagai datang daripada sebuah ‘government-in-waiting’, sekali gus memberi gambaran mengenai kemungkinan kerajaan Persekutuan diterajui Umno selepas PRU16.
Walaupun BN ketika ini hanya mempunyai 30 kerusi Parlimen, keyakinan gabungan diterajui Umno itu meningkat susulan kemenangan besar dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Di Negeri Sembilan, kerjasama BN-Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh majoriti dua pertiga apabila kedua-duanya memenangi 25 daripada 36 kerusi DUN.
Umno kini berharap dapat meneruskan momentum itu pada PRN Melaka yang dijangka berlangsung sebelum akhir tahun, selain PRU16 yang mahu diadakan lebih awal.
Bagaimanapun, Oh Ei Sun dari Singapore Institute of International Affairs melihat gambaran mengenai ‘bakal perdana menteri’ dan ‘kerajaan menunggu’ itu sebagai tidak lebih daripada gertakan menjelang pilihan raya.
“Ia sekadar usaha untuk membina momentum dan sebagainya. Tidak lebih daripada itu,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.