Mahkamah Tinggi ketepi perjanjian fi guaman RM1.55 juta libat 203 anak guam

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan perjanjian fi antara sebuah firma guaman dan 203 anak guam dalam satu kes pelaburan, selepas memutuskan perjanjian itu tidak dicapai secara adil serta mengandungi terma tidak munasabah.
Pesuruhjaya Kehakiman Nixon Kennedy Kumbong, turut memerintahkan semua 18 fi guaman dikeluarkan Tetuan Jerald Gomez & Associates berjumlah RM1.55 juta ditaksirkan memandangkan tiada perjanjian fi dimeterai.
Dalam istilah kehakiman, ‘taksir’ bermaksud proses penilaian secara rasmi oleh mahkamah bagi menentu atau menetapkan jumlah sebenar kos atau fi guaman yang wajar dibayar.
Nixon mengarahkan pendaftar Mahkamah Tinggi mengendalikan proses penaksiran berkenaan.
Beliau juga memerintahkan firma berkenaan memulangkan mana-mana jumlah didapati telah dibayar melebihi amaun penaksiran dalam tempoh 30 hari dari tarikh sijil penaksiran dikeluarkan.
Plaintif, yang merupakan pelabur secara kolektif mengalami kerugian kewangan yang cukup besar dalam satu skim pelaburan yang dikaitkan dengan pengasas bersama MYAirline, Goh Hwan Hua, dan telah melantik firma guaman tersebut mengambil tindakan perundangan.
Firma tersebut telah menjalankan siasatan awal, mengadakan beberapa perjumpaan dengan bakal penuntut, dan akhirnya memfailkan writ dan penyataan tuntutan bagi pihak mereka.
Plaintif telah mencabar terma dan syarat pelantikan yang ditandatangani pada 16 Jan 2024 mengikut Seksyen 116, 118, 126 dan 128 Akta Profesion Undang-undang 1976.
Plaintif memohon mengetepikan atau meminda perjanjian itu, pelanjutan tempoh bagi mengemukakan proses penaksiran, serta mendapatkan perintah lanjutan untuk penaksiran esemua 18 fi guaman berkenaan.
Antara isu dipertimbangkan adalah sama ada perjanjian itu telah dicapai secara adil berasaskan siri pertemuan antara pihak bekenaan sebelum ditandatangani.
Mahkamah turut meneliti sama ada terma terkandung munasabah, termasuk struktur kadar bayaran mengikut jam, ketiadaan had maksimum fi, dan anggaran firma terbabit yang menjangkakan fi guaman mencapai kira-kira RM5 juta.
Plaintif membangkitkan kebimbangan mengenai caj dikenakan, antaranya kadar RM2,000 sejam bagi tugasan dilakukan individu yang belum diterima secara rasmi sebagai peguam cara dan peguam bela, RM160,100 bagi kehadiran lapan kakitangan pada satu sidang media, serta RM58,500 bagi kehadiran seorang peguam dalam 11 pertemuan.
Mereka mendakwa berlakunya pengagihan kakitangan secara berlebihan, pertindihan kerja, serta ketiadaan rekod masa dibuat secara masa nyata.
Dalam penghakiman 43 halaman itu, Nixon menegaskan keadilan sesuatu perjanjian perlu dinilai berasaskan sifat fidusiari dalam hubungan antara peguam cara dan anak guam.
Beliau memutuskan plaintif berjaya membuktikan kes mengikut Seksyen 118 Profesion Undang-undang 1976, dan turut memutuskan klausa penyelesaian perselisihan alternatif dalam perjanjian fi berkenaan melanggar Seksyen 118.
“Terma pelantikan bertarikh 16 Jan 2024 (dengan ini) diketepikan,” katanya.
Jared Tee dan Syed Afiq Syed Albakri bertindak bagi pihak plaintif, manakala Michelle Wong dan David Dev Peter mewakili firma guaman tersebut.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.