Umno takkan paksa PH, pintu kerjasama tetap terbuka

Umno tidak akan memaksa Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka, kata Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki.
Bagaimanapun, katanya, Umno sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menghadapi pilihan raya itu.
“Kalau dia tak nak kerjasama, itu hak dia. Kita tak boleh paksa. Itu parti dia, bukan parti kita.
“Kita sentiasa terbuka,” katanya kepada media selepas majlis prapelancaran Mara Automotive Ecosystem (Matec) 2026 di Menara Mara.
Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, PH tidak akan bekerjasama dengan BN pada PRN Melaka akan datang.
Khalid sebelum ini berkata, PH sedia bekerjasama dengan mana-mana parti kecuali BN dan Perikatan Nasional (PN).
Kenyataan itu hadir ketika spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama PH-Bersatu semakin hangat susulan pertemuan tertutup pemimpin kedua-dua pihak di sebuah hotel di Melaka.
Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, berkata tiada perbincangan rasmi mengenai kerjasama itu dan sebarang keputusan perlu dibuat majlis presiden gabungan.
Antara pemimpin hadir pada makan malam itu Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz, Pengarah Pilihan Raya Bersatu Melaka Mohamad Ali Mohamad, Ketua Amanah Melaka Ashraf Mukhlis Minghat dan Pemangku Ketua PKR Melaka Adam Adli.
Sementara itu, Asyraf berkata Umno masih dalam rundingan dan belum mengadakan perbincangan dengan mana-mana jajaran politik baharu bagi menghadapi PRN Melaka.
“Setakat ini sedang berunding. Kita tunggu. Suruhanjaya Pilihan Raya belum umum tarikh.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.