GRS perlu atur strategi tambah kerusi pada PRU16

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan beberapa kerusi Parlimen yang dikuasai lawannya pada PRU akan datang, namun penganalisis berkata hasrat itu mungkin bergantung pada pakatan pilihan raya dan keupayaan mempertahankan kerusi sedia ada.
Selasa lalu, Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali, berkata simulasi berdasarkan keputusan PRN Sabah 2025 menunjukkan gabungan itu berpotensi memenangi lebih daripada 15 kerusi Parlimen.
GRS menang enam daripada 25 kerusi Parlimen Sabah pada PRU15 iaitu Papar, Sipitang, Ranau, Keningau, Batu Sapi dan Tawau.
Penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Awang Azman Pawi, berkata GRS mempunyai alasan untuk optimis susulan prestasi cemerlang dalam PRN, yang menunjukkan sokongan meluas di kawasan luar bandar, pedalaman dan pantai barat.
“Kemasukan Upko ke dalam GRS turut meluaskan lagi asas sokongan gabungan itu, khususnya dalam kalangan pengundi Kadazandusun-Murut dan di kawasan campuran,” katanya kepada FMT.
Medan pertempuran utama
Awang Azman mengenal pasti Kudat, Kota Belud, Beaufort, Kimanis, Beluran dan Kota Marudu — kawasan Parlimen milik lawan — sebagai medan pertempuran utama dalam usaha GRS meluaskan penguasaannya.
Kudat dilihat berpotensi, katanya, sambil menyatakan GRS memenangi Banggi, Pitas dan Tanjong Kapor, iaitu tiga daripada empat kerusi DUN dalam kawasan Parlimen itu pada PRN baru-baru ini.
Kerusi Parlimen itu kini disandang wakil rakyat bebas, Verdon Bahanda, yang dua bulan lalu menyatakan ‘sedang mempertimbangkan dengan serius’ tawaran untuk menyertai Barisan Nasional (BN).
Kota Belud, yang merupakan kerusi Warisan, juga berpotensi menjadi lebih menarik susulan penyertaan Upko dalam GRS. Gabungan itu berpotensi menggabungkan kekuatannya di Tempasuk dengan pengaruh Upko di Kadamaian. Warisan menguasai kerusi DUN ketiga, Usukan, manakala Pintasan diwakili seorang wakil rakyat bebas.
Beaufort, yang kini disandang oleh BN, merupakan satu lagi sasaran berpotensi apabila GRS memenangi kedua-dua kerusi DUN dalam kawasan Parlimen itu, iaitu Klias dan Kuala Penyu, pada PRN 2025.
GRS turut menguasai ketiga-tiga DUN dalam kawasan Beluran — Telupid, Sugut dan Labuk — sekali gus memberikan kelebihan dalam usahanya merampas kerusi Parlimen itu daripada Perikatan Nasional (PN).
Di Kota Marudu, yang kini disandang oleh Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), GRS menguasai Matunggong dan Tandek, manakala Bandau diwakili oleh seorang wakil rakyat bebas.
Di Kimanis, yang kini disandang oleh BN, GRS menguasai kerusi DUN Membakut, manakala Warisan menguasai Bongawan.
Cabaran lebih sukar di kawasan lain
Kinabatangan dan Libaran — kedua-duanya kubu kuat BN — boleh dianggap sebagai sasaran peringkat kedua, kata Awang Azman, tetapi GRS memerlukan calon yang kuat dan landskap politik yang memihak kepadanya untuk merampas kedua-dua kerusi itu.
Di Kinabatangan, GRS menguasai kerusi DUN Kuamut, manakala BN menguasai kerusi Lamag dan Sukau.
Di Libaran, GRS menguasai Sungai Manila, manakala Warisan menguasai Gum Gum dan Sungai Sibuga.
Bagaimanapun, Awang Azman mengingatkan keutamaan GRS sepatutnya ialah mempertahankan Parlimen sedia ada — khususnya Ranau, Sipitang, Batu Sapi dan Tawau — yang mungkin tidak selamat memandangkan perbezaan corak pengundian antara PRN dengan PRU.
Kerjasama strategik
Bilcher Bala daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, tujuh kerusi Parlimen disandang BN dan lima disandang PH, yang kedua-duanya merupakan rakan dalam kerajaan negeri pimpinan GRS, menimbulkan dilema strategik bagi GRS.
Beliau berkata, kerjasama pilihan raya dengan kedua-dua gabungan itu boleh meningkatkan jumlah kerusi Parlimen dimenangi blok kerajaan negeri, tetapi memberi amaran langkah itu juga boleh mengehadkan jumlah kerusi yang boleh ditandingi dan dimenangi oleh GRS sendiri.
Katanya, sasaran 10 hingga 12 kerusi atas tiket sendiri lebih mudah dicapai jika GRS bersetuju dengan aturan pembahagian kerusi bersama BN dan PH.
“Bagaimanapun, untuk mencapai 15 kerusi, GRS perlu sama ada bertanding dan memenangi beberapa kerusi BN dan PH atau mendapatkan persetujuan supaya sekutunya bertanding bawah satu payung politik, sekali gus membolehkan kemenangan mereka dikira sebagai kemenangan blok pimpinan GRS,” katanya.
Menurut Bilcher, pilihan pertama berisiko memecahkan undi dan memberi kelebihan kepada Warisan, STAR, KDM atau calon bebas, manakala pilihan kedua memerlukan rundingan yang meluas berhubung kepimpinan dan pembahagian kerusi.
Bilcher berkata, justeru sasaran GRS perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan jumlah kerusi dimenanginya secara langsung, tetapi kekuatan blok kerajaan negeri yang lebih luas.
Beliau turut mengenal pasti Tenom dan Putatan sebagai medan pertempuran yang bepotensi dimenangi.
GRS memenangi Kemabong, satu daripada dua DUN bawah Parlimen Tenom, manakala di Putatan, GRS menang Tanjung Keramat, Warisan pula menguasai Tanjung Aru dan Petagas diwakili seorang wakil rakyat bebas.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.