PunchNew York police arrest 17-year-old over Ghanaian teen’s murderThe Jerusalem PostNational Library of Israel's new digital archive opens window into New York’s vibrant Jewish pastالنهارراتب أعلى في مدينة أغلى… هل يستحق الانتقال؟GIGAZINE任天堂がGitHubでSwitch関連改造チップファームウェアのDMCA削除要請を申請ZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDF中国新闻网外媒:马克龙迎接斯洛伐克总统 仪仗队队员当场晕倒InquirerCops destroy P38M in contraband cigarettes in Bacolod CityRapplerLIVE UPDATES: Impeachment trial of Vice President Sara DuterteSDP EspectáculosMiranda! y Lali en el Auditorio Nacional: fecha, preventa y precios de boletosThe Japan Times“Luffy” crime group’s alleged leader denies robbery resulting in deathThe Sydney Morning HeraldA rapid-fire round with Jess WilsonDaily MailQUENTIN LETTS: Burnham's so passive, indecisive, bland. No wonder he's got Boston Consulting to write his Ten-Year Plan
The Daily Newsstand · Free, Always
Thursday, November 12, 2026

Perihal penyamun

Translate

faisal tehrani

Ada satu pesona di rak buku ibu yang memikat dan menawan saya iaitu karya Raja Ali Haji, dengan judul Gurindam Dua Belas yang dipercayai dikarang atau tersebar sekitar tahun 1847.

Apa yang menyebabkan saya suka dengan gurindam adalah kerana ia tiada tentu bentuknya. Ia boleh jadi terikat atau tidak. Untuk gurindam dengan bentuk yang terikat, ia terdiri dari dua baris serangkap, mengandungi tiga hingga enam perkataan sebaris dengan rima a-a. Beberapa rangkap berkait akan menjadikan ia satu gagasan atau idea yang boleh dicerna. Sudah tentu Gurindam Dua Belas tersebut memukau saya.

Apabila saya menuliskan novel saya dengan tajuk Koro; salah satu pengikat atau pesona kepada karya ini dibina menerusi gurindam. Koro yang diterbitkan di Indonesia oleh Penerbit Circa pada tahun 2022, dan kemudian diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Brigitte Bresson, dan diterbitkan oleh Penguin Random House sebagai The Koro Riots (2023) mengisahkan sebuah negara fiksional Republik Hujung Manani yang dilanda penyakit koro iaitu kaum lelakinya mengalami pengecutan alat kelamin mendadak. Sebagai sebuah satira politik, saya cuba mengungkapkan punca korupsi dan kemerosotan moral warga di republik itu dan bagaimana usaha-usaha protagonisnya Negarawan Sejati menegakkan keadilan dan melaksanakan reformasi.

Untuk meyakinkan khalayak akan kewujudan sebuah negara imaginasi ini saya menciptakan lagu kebangsaan, sejarahnya yang pernah ditakluk Perancis, memerikan sosiopolitik dan ekonomi, garis sempadan, dan paling penting negara ini juga memiliki warisan budaya sendiri iaitu gurindam.

Di republik fiksi ini, Gurindam Enam dikenali dan dihafal oleh rakyatnya. Gurindam Enam memerihalkan enam pasal yang mesti diambil kira oleh sesebuah negara untuk kekal merdeka, selamat hala tujunya dan terpelihara dari serangan musuh.

Sudah tentu saya sendiri tidak dapat menjelaskan bagaimanakah ilham atau idea Gurindam Enam ini datang mengalir, melainkan ia terbangun daripada bacaan lampau, perenungan yang bertahun-tahun dahulu disentak oleh karya-karya tradisional yang unggul. Dalam erti kata lain, minda saya secara separuh sedar ketika mengarang Koro dalam tahun 2000 ke 2022 itu melilau dan menerawang di galaksi atau cakerawala fikir yang luas. Ia menjelajah jauh tetapi akhirnya, kembali mendarat di rak buku ibu saya.

Gurindam Enam itu berbunyi begini:

“Dengarkan umat suatu rencana
Mengarang kita gundah gulana

Barang gurindam kalau tak kena
Sebabnya kita risau kan bangsa

Ini hikmah untuk pemerintah
Petua dan syarat memberi faedah

Empat musuh sangat bedebah
Ke atas rakyat berbuat payah

Gurindam Pasal Pertama
Ada pun negeri hendak selamat
Jangan dibiar panjat penjahat

Ada pun penjahat bermacam jenis
Ketahui semua umpamakan najis

Ada pun pertama penjilat raja
Ikut melanun berbuat dosa

Ada pun perangat ibaratkan kera
Menekan rakyat menjarah harta

Gurindam Pasal Kedua
Barang raja perangai tak ingat
Kerja menindas sekalian rakyat

Barang raja membuat tipu
Apa yang lalu semua disapu

Barang rakyat jangan dibiar
Itulah punca raja pun liar

Barang dinasihat bijak pandai
Kalau raja boleh dicanai

Barang yang degil mesti ditangan
Tak dapat sanggah mesti dilawan

Gurindam Pasal Ketiga
Apabila angkuh kaum agama
Harapkan lebai tapi serupa

Apabila lebai serupa anjing
Bersama raja menjadi maling

Apabila alim tak jadi guru
Tiadanya amal meski berilmu

Apabila alim dah jadi baghal
Umat tak cegah ditimpa sial

Apabila perangai teramat gopoh
Menganga meminta perutnya penuh

Apabila ulama menjadi ular
Maruah umat guris tercalar

Adapun jika agama terjual
Lucutkan serban pukulkan capal

Gurindam Pasal Keempat
Khabar diingat perangai Melayu
Bangsa beringat menolak candu

Khabar candu macam aneka
Ada ketagih hisapkan ganja

Khabar candu bermacam candu
Ada ketagih perangai tak malu

Khabar perangai seamat keras
Habis pantang semua diganas

Khabar ganas kepada orang
Disangka Melayu umat terbilang

Khabar mana umat cemerlang
Melayu ganas memijak orang

Khabar yang ganas usah diulang
Perangai yang marah harus dibuang

Khabar Melayu seamat ramah
Tindak-tanduk elak kan balah

Gurindam Pasal Kelima
Jika mampir orang berdagang
Titik perhati segala belang

Jika saudagar tamak haloba
Membuat rosak negara bangsa

Jika yang baik duduknya atas
Pedagang khianat rencana nak rampas

Jika pedagang ikut perintah
Daulah terpendam pedagang sembah

Jika pedagang duit dah rambang
Perihal negeri tiada ditimbang

Jika dibiar berbuat sundal
Pedagang jahat negeri terjual

Gurindam Pasal Keenam
Musuh negeri adapun banyak
Empat golongan selalu disemak

Betul negeri kalau muafakat
Empat golongan ibarat musibat

Kalau raja lupa kan daratan
Negeri karam kalau tak lawan

Kalau ulama lacurkan ilmu
Nasib negeri dibidak didadu

Kalau dah Melayu lupa kan ihsan
Habis yang kecil sangap ditekan

Kalau negeri hendak perubahan
Cermati saudagar bila lahapan

Inilah akhir gurindam enam pasal yang dikarang oleh Otto Ali pada tahun 1263 Hijrah Nabi hingga dua puluh tiga hari bulan Sya’ban Kamis pukul 05.00 Negeri Hujung Manani.”

Di dalam gurindam ini, saya mengungkapkan keseluruhan idea dan gagasan akal budi Melayu, dengan pesan besar bahawa terdapatnya musuh atau ancaman terhadap bangsa yang terdiri dalam bentuk pemerintah yang jahat, dan berpihak kepada yang korup; ulama yang tidak lagi menobatkan kebenaran dan keadilan; rakyat atau warga dilalaikan dengan candu dan madat; serta terakhir kumpulan saudagar kapitalis mementingkan haloba perut berbanding kesejahteraan umat.

Empat kelompok atau golongan yang menentukan arah baik dan buruknya negara ini bukanlah sesuatu yang boleh muncul secara tiba-tiba tentunya. Ia tiba dengan memori berjejak di dalam benak saya.

Enam pasal ingatan dalam gurindam ini dapat direnung dan dicermin kembali dalam pelbagai titah diraja oleh raja-raja Melayu.

Sebagai contoh tuntutan keadilan dan pesan agar raja sentiasa terpandu dinasihati, yang mana dalam konteks zaman moden kita di Malaysia adalah raja berpelembagaan sejajar dengan titah baginda Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-78 baginda di Istana Besar Seri Menanti pada 14 Jan 2026.

“Rasuah merupakan musuh utama kepada keadilan, amanah dan masa depan negara. Beta amat terperanjat dan kecewa apabila masih wujud pihak yang terus memberikan sokongan kepada individu yang telah disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah yang amat besar, seolah-olah perbuatan tersebut boleh diterima dan dimaafkan. Mereka yang masih menyokong penjenayah seperti ini agar segera bermuhasabah diri serta menilai semula pendirian dan kepercayaan masing-masing. Ini kerana sebarang bentuk toleransi atau kompromi terhadap rasuah adalah bertentangan dengan prinsip kebenaran, keadilan serta amanah dan sama sekali tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang.”

Tuanku Muhriz berasa khuatir sebarang toleransi dan kelonggaran kepada penjenayah dan jenayah rasuah boleh menjejaskan masa depan negara kita di mana keadilan dilihat tidak lagi dilaksanakan dengan setara, atau terdapat dwistandard antara kelas tertentu.

Baginda tidaklah bersendirian dalam menolak rasuah dan perasuah. Pada 22 Sept 2022 misalnya; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ketika melancarkan buku tulisan M Kamal Hassan bertajuk ‘Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu, Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’, bahawa rasuah dikenal pasti sebagai salah satu sebab utama yang membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga, menidakkan rakyat daripada mendapat perkhidmatan, serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

Ingatan yang lebih jelas daripada Sultan Nazrin terpancar dalam titah baginda yang lebih mutakhir iaitu pada 2023, ketika Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-66. Titah Sultan Nazrin lagi rakyat semakin lantang mendedahkan isu rasuah, gigih menolak pemimpin berimej rasuah dan menggunakan jawatan untuk kepentingan diri, atau pemimpin yang mengumpul kekayaan untuk ahli keluarga serta pemimpin yang menjadi instrumen kepada ahli perniagaan.

Saya mengimpikan Gurindam Enam akan menjadi sepertinya Gurindam Dua Belas, sebagai sebuah karya klasik yang bertahan zaman dan dihayati gagasan keseluruhannya seperti mana rakyat Hujung Manani lakukan di dalam novel Koro.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.