DAP mungkin guna strategi ‘kekal gabungan, tak terikat’, kata penganalisis

DAP mungkin mempertimbangkan strategi ‘kekal dalam gabungan tetapi tidak terikat’ selepas PRU16 bagi mengekalkan keanjalan politik tanpa mengorbankan prinsip parti, kata penganalisis.
Wong Chin Huat daripada Sunway University berkata, pendekatan itu membolehkan DAP terus bekerjasama dengan PKR dan Amanah dalam Pakatan Harapan (PH), tetapi pada masa sama bersedia kembali ke bangku pembangkang jika rakan gabungan memilih membentuk kerajaan bersama Umno atau PAS tanpa mengambil kira syarat dasar parti.

Katanya, keanjalan membuat keputusan menjelang PRU16 semakin penting bagi DAP kerana parti itu masih memerlukan rakan gabungan berbilang kaum.
Pada masa sama, katanya, DAP berdepan cabaran daripada Barisan Nasional (BN) dan Bersama, selain risiko lebih ramai pengundi tidak keluar mengundi jika PH menyertai kerajaan pimpinan Umno atau PAS.
“Bagi DAP, kesiapsediaan untuk kembali ke bangku pembangkang seperti diisyaratkan oleh tawaran Setiausaha Agungnya, Loke Siew Fook untuk meletak jawatan menteri, penting bagi meyakinkan pengundi tegar bahawa DAP ada garis merahnya.
“Ia bersedia melepaskan kuasa demi prinsip, sekali gus membezakannya daripada parti seperti MCA dan Gerakan,” katanya kepada FMT.
Pada 4 Okt lalu, Loke dilaporkan berkata DAP tidak menolak kemungkinan bertanding secara bersendirian pada PRU16, namun mengakui politik gabungan ialah ‘realiti yang perlu diterima’.

Sementara itu, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata berada di blok pembangkang bukan perkara asing atau membimbangkan bagi pengundi dan akar umbi DAP.
Katanya, kedudukan itu membolehkan wakil rakyat DAP lebih vokal menyuarakan masalah rakyat, khususnya golongan bawahan yang menjadi antara tonggak sokongan parti.
“Bagi akar umbi, kelantangan menyuarakan isu rakyat di Parlimen lebih penting daripada menjadi anggota kerajaan yang mungkin memaksa mereka berkompromi atas semangat tanggungjawab kolektif Kabinet,” katanya.
Beliau berkata, wujud jurang pandangan antara kepimpinan dan akar umbi, dengan kepimpinan parti kini perlu meyakinkan penyokong mengenai manfaat menyertai kerajaan campuran bagi melaksanakan dasar tertentu.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.