The Jerusalem PostHamas sees Gaza war as victory, believes Israel's destruction is still possible, official warnsCNN TürkMHP'den nüfus artışı için 20 öneriPunchLeBron James begins final NBA season with defeat to NetsESPNAces' Wilson wins 5th MVP, says she'll nix pregame ceremony to focus on Game 3Inquirer2 homegrown technologies advance toward wider use in South LuzonZDF heuteAktuelle Pressemitteilungen des ZDFUOLPacientes com dengue chegam em estado mais grave às UTIs do SUS do que na rede privada, diz estudoComplete Sports‘I’m Going Back To School’ –Tottenham Star Joins Harvard Business ProgramSky TG24La nuova legge elettorale sui giornali: le Pagine di oggiObservador DesportoColisão entre carruagens do Metro Sul do Tejo em AlmadaNotJustOkWurlD finds his groove on the smooth, silky 'Da Da'Het Laatste NieuwsHoe Kimi Antonelli dit weekend al wereldkampioen kan worden, zonder het zelf te weten
The Daily Newsstand · Free, Always
Friday, October 9, 2026

2 pegawai SPRM, bekas pegawai diperintah bela diri kes rompak hampir RM950,000

Translate

Mahkamah Tinggi memerintahkan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih berkhidmat dan seorang bekas pegawai membela diri berhubung dakwaan merompak seorang ahli perniagaan China membabitkan wang tunai hampir RM1 juta.

Hakim Arief Emran Arifin membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan mereka oleh Mahkamah Sesyen tahun lalu, dengan memutuskan bahawa kes prima facie telah dibuktikan.

Beliau berkata Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan bahawa bukti terhadap Haffiz Radzi, Fahmee Nor dan bekas pegawai SPRM, Azwan Asli, tidak mencukupi.

Ketiga-tiga mereka didakwa merompak ahli perniagaan Kun Gao dengan mengambil wang tunai RM952,690 dan 1,225 yuan, selain sebuah beg bagasi dan beg Louis Vuitton, di kediamannya di Jalan Ampang pada 10 Dis 2021.

Ketika pendengaran rayuan hari ini, Arief mempersoalkan mengapa harta yang didakwa dirampas semasa siasatan berkenaan dibawa ke rumah pegawai terbabit dan bukannya ke ibu pejabat SPRM.

“Jika benar terdapat siasatan, mengapa mereka tidak membawa harta itu ke SPRM untuk direkodkan? Perkara ini merisaukan saya,” katanya.

Apabila peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff, yang mewakili Haffiz dan Fahmee, berhujah bahawa sebarang kegagalan mematuhi prosedur operasi standard SPRM hanyalah isu tatatertib, hakim itu tidak bersetuju.

“Tidak, perkara ini lebih daripada itu,” katanya sambil mempersoalkan keberadaan dokumen aduan dan kertas siasatan.

Dzulkifli Ahmad, yang mewakili Azwan, berhujah bahawa pegawai terbabit sedang menjalankan pengesahan awal berdasarkan maklumat yang diterima dan tiada bukti menunjukkan mereka membawa harta berkenaan ke rumah masing-masing.

Arief menolak hujah itu dengan mempersoalkan sama ada polis boleh memasuki rumah seseorang dan merampas barang miliknya.

“Terdapat persoalan besar di sini. Mungkin ada isu berkaitan jumlah dan berat. Tetapi bolehkah polis datang ke rumah saya sekarang dan mengambil televisyen saya?” soalnya.

Hakim itu membenarkan rayuan berkenaan, mengetepikan keputusan terdahulu dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Sesyen untuk sebutan.

Jaminan sedia ada RM12,000 terhadap Haffiz dan Fahmee dan RM10,000 terhadap Azwan, dikekalkan.

Pengurusan kes ditetapkan pada 29 Okt di hadapan hakim Mahkamah Sesyen yang baharu.

Timbalan Pendakwa Raya Nordin Ismail, Fadhly Zamry dan Hench Goh hadir bagi pihak pendakwaan.

Guok Ngek Seong dan Ahmad Nur Zharif Rosdi hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak pengadu.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.