MB kena jawab persoalan dizahirkan Yang Dipertuan Besar, kata PKR N Sembilan

PKR Negeri Sembilan menuntut Menteri Besar Ismail Lasim mengemukakan alasan penangguhan DUN tanpa notis awal, selain menjelaskan insiden tular beliau dengan Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selepas solat Jumaat.
Pengarah Komunikasi PKR Negeri Sembilan, Mohd Shariman Che Deris, berkata DUN sepatutnya berlangsung pada 16 Okt, namun tiada pemakluman sewajarnya kepada Adun pembangkang.
“Alasan kekangan masa yang diberi mengambarkan ketidakupayaan menteri besar Negeri Sembilan dan Adun kerajaan mengurus masa dan sumber, walhal tempoh dua bulan adalah sangat panjang jika mereka benar-benar bekerja.
“DUN bukan milik mana-mana individu atau parti politik. Ia merupakan institusi demokrasi yang membawa mandat rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, PKR negeri menyifatkan Ismail gagal berkomunikasi dengan Yang Dipertuan Besar sehingga mendatangkan murka, sambil disaksikan rakyat dalam kejadian di Masjid Kampung Beting, Kuala Pilah, semalam.
“Perlu diingat kepada semua bahawa, setiap kejadian mesti ada proses dan tindakan sebelumnya menyebabkan baginda Tuanku Muhriz murka dengan tegas dan keras,” katanya.
Menerusi beberapa video yang tular di media sosial, Tuanku Muhriz dilihat memberitahu sekumpulan individu bahawa Ismail telah mengutus surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, memaklumkan bahawa baginda bukan lagi Yang Dipertuan Besar.
Tuanku Muhriz kemudian mempersoalkan tujuan Ismail berhasrat menemui baginda.
“Jadi (hari ini) dia nak datang jumpa saya buat apa? Selagi dia tidak tarik balik apa yang dikatakannya sebelum ini, jangan datang jumpa saya. ‘Go away’,” titah Tuanku Muhriz yang jelas kelihatan murka, sebelum berpaling ke arah Ismail.
Justeru, Shariman berkata, Ismail perlu memberikan penjelasan berkait perkara ditimbulkan Tuanku Muhriz dan bukan membiarkan persoalan berterusan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.