RUU tadbir urus AI dibentang awal tahun depan

Kerajaan dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) di Dewan Rakyat pada awal tahun depan, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Gobind berkata kerajaan masih merangka RUU itu, yang akan menggunakan pendekatan berasaskan risiko dalam mengawal selia AI.
Beliau berkata tahap kawalan dan kewajipan terhadap sesuatu sistem AI akan dinilai berdasarkan risiko yang dibawanya dan tidak hanya bergantung kepada klasifikasi risiko mengikut industri.
“RUU itu direka sebagai kerangka merentas sektor yang melengkapi undang-undang sedia ada mengikut sektor,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) dan Amirudin Shari (PH-Gombak), yang bertanya mengenai pendirian kerajaan terhadap gesaan supaya pembangunan AI termaju diperlahankan dan sama ada Malaysia merancang untuk memperkenalkan perundangan yang serupa dengan Akta AI EU.
Gobind berkata Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 menggunakan pendekatan yang mengutamakan pembangunan AI yang bertanggungjawab, inklusif dan berimpak tinggi.
Beliau berkata pelan itu bertujuan mengekalkan momentum dalam penggunaan dan penerimaan AI bagi meningkatkan produktiviti ekonomi dan perkhidmatan awam.
“Pembangunan AI mesti bergerak seiring dengan keupayaan kita untuk mengurus risikonya.
“Bagi sistem AI yang semakin berkuasa dan autonomi yang boleh memberikan kesan besar terhadap orang ramai atau sistem kritikal, kawalan keselamatan, pengujian, pemantauan, pengawasan manusia dan mekanisme tindak balas mesti diperkukuh sebelum penggunaannya diperluaskan.”
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.