Puad gesa Anwar dedah nama GLC terbabit isu elaun RM70,000

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim diminta mendedahkan nama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) didakwa menubuhkan puluhan anak syarikat bagi membolehkan pengurusan tertinggi menikmati elaun tambahan sehingga RM70,000 sebulan.
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, berkata dakwaan seorang pengurus GLC menubuhkan 70 anak syarikat kecil untuk memperoleh elaun tambahan perlu disusuli langkah lebih telus.
Ini kerana, katanya, kewujudan anak syarikat tanpa kegiatan perniagaan sebenar yang mengalami kerugian dan menanggung hutang tinggi, boleh menjejaskan kedudukan kewangan GLC.
“Elok juga PMX mendedahkan nama GLC terlibat. Biar lebih telus. Ini melibatkan tadbir urus,” katanya di Facebook.
“Ia punca GLC kerugian kerana kewujudan banyak anak syarikat tiada bisnes, rugi dan menanggung hutang tinggi.”
Semalam, Anwar mendedahkan seorang pengurus GLC didakwa menubuhkan 70 anak syarikat kecil untuk memperoleh elaun kira-kira RM1,000 daripada setiap syarikat, menjadikan jumlah keseluruhan RM70,000 sebulan.
Menteri kewangan itu dilaporkan berkata, kerajaan sudah mengenal pasti dan menghentikan amalan berkenaan.
Beliau berkata, walaupun GLC dan lembaga pengarahnya tertakluk kepada kawalan kewangan serta audit, anak syarikatnya beroperasi secara bebas.
Tegasnya, kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap amalan bercanggah dengan amanah dan prinsip tadbir urus.
Mengulas lanjut, Puad mencadangkan kerajaan menggubal akta khusus bagi melarang pengerusi GLC memegang jawatan pengerusi dalam anak syarikat di bawah entiti sama.
Katanya, amalan menubuhkan banyak anak syarikat baharu semata-mata untuk menyediakan jawatan pengerusi dan membolehkan individu terbabit memperoleh elaun tambahan perlu dihentikan.
Beliau turut mendakwa kaedah itu digunakan bagi membuka ruang pelantikan kroni politik sebagai ahli lembaga pengarah anak syarikat.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.