Bekas pelajar gagal dalam saman cuai, fitnah

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengekalkan keputusan mengetepikan saman kecuaian dan fitnah RM400,000 difailkan seorang bekas pelajar terhadap guru dan kerajaan mengenai pemeriksaan badan serta rampasan telefon bimbit ketika peperiksaan percubaan SPM.
Hakim Yusrin Faidz Yusoff menolak rayuan Nur Nabilah Ahmad Zambala, sambil memutuskan walaupun pihak sekolah tidak mempunyai kuasa nyata di bawah peraturan peperiksaannya untuk memeriksa kandungan telefon bimbitnya, ketidakteraturan prosedur itu tidak mewujudkan kecuaian berdasarkan undang-undang.
Pelajar Tingkatan 5 itu diperiksa selepas dua pelajar melaporkan nampak dia melihat telefon bimbit semasa peperiksaan percubaan Sains Rumah Tangga di SMK Sura, Dungun, pada 25 Okt 2020.
Telefon bimbit tersebut diperiksa pengetua sekolah dan guru mata pelajaran lalu mendapati nota serta skema jawapan yang sepadan dengan jawapan dalam skrip jawapannya bagi beberapa mata pelajaran.
Pihak sekolah bertindak mengurangkan markahnya bagi kertas berkenaan kepada 1%, walaupun markah terbabit kemudiannya dipulihkan susulan campur tangan pejabat pendidikan daerah.
Nabilah kemuka saman bagi mendapatkan ganti rugi atas dakwaan penghinaan, gangguan emosi, dan kerosakan reputasinya.
Dia mendakwa pihak sekolah bertindak cuai dan menfitnahnya dengan menulis ‘meniru paper SnRT’ pada sampul surat mengandungi telefon bimbitnya.
Namun, Yusrin memutuskan perkataan berkenaan tidak bersifat fitnah dalam konteksnya dan pihak defendan telah mengemukakan pembelaan justifikasi dengan membuktikan kebenaran substantif atas dakwaan tersebut.
Hakim berkata, komunikasi dalaman pihak sekolah juga dilindungi keistimewaan bersyarat.
Hakim itu berkata, pemeriksaan pihak sekolah terhadap telefon bimbit itu telah melebihi kuasa diperuntukkan secara nyata di bawah pekeliling dan peraturan peperiksaan, namun bukti berkenaan kekal boleh diterima walaupun dengan pemberatan berkurangan.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan kerana pihak sekolah gagal merujuk dakwaan kebocoran kertas peperiksaan percubaan yang sulit kepada pihak berkuasa pendidikan yang berkenaan.
Ketika menolak rayuan tersebut, Yusrin mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan memerintahkan Nabilah membayar kos rayuan RM5,000, selain kos RM10,000 yang telah dianugerahkan oleh mahkamah bawahan.
Hakim berkata, Nabilah gagal membuktikan dakwaannya berdasarkan imbangan kebarangkalian dengan pihak defendan tidak melakukan sebarang kecuaian.
“Tindakan perayu itu sendiri merupakan punca utama kepada masalah dihadapinya,” katanya sambil menambah dia memilih membawa telefon bimbit dalam dewan peperiksaan walaupun sedar ia dilarang.
“Perayu tidak boleh mengadu mengenai akibat daripada tindakan sendiri.”
Hakim mengambil maklum dalam penghakimannya bahawa Nabilah merupakan pengawas sekolah, selain pernah mewakili sekolah dan Terengganu dalam pelbagai acara pengakap di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Ibu bapanya merupakan guru semasa saman berkenaan difailkan pada 2021.
Hisyam Yusof dan Nor Fatihah Hazmira Mat Azmi bertindak bagi pihak Nabilah, manakala Peguam Persekutuan Nik Rabiatul Adawiah Soupy dan Faizuan Khalid mewakili pihak kerajaan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.