Isu perbelanjaan KKDW selesai, kata timbalan KSU Perbendaharaan


Isu berhubung dakwaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berbelanja melebihi peruntukan sebanyak RM2.1 bilion sudah selesai, kata Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Zamzuri Abdul Aziz.
“Dah selesai,” katanya ringkas ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran dan Persidangan Perdana Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu itu serta permintaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Razlan Rafii, supaya Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, memberi penjelasan kepada Lim Guan Eng.
“Saya tak tahu, tapi isu ni dah selesai,” katanya.
Semalam, Razlan meminta Johan menjelaskan kepada Lim berhubung dakwaan KKDW berbelanja RM2.1 bilion melebihi peruntukan, selain mempersoalkan dari mana bekas menteri kewangan itu memperoleh angka berkenaan.
Pada 4 Sept lalu, Lim mendakwa KKDW membelanjakan RM1.8 bilion pada 2023 berbanding peruntukan RM1.1 bilion, RM2 bilion pada 2024 berbanding RM1.3 bilion dan RM2.3 bilion pada 2025 berbanding RM1.6 bilion.
Beliau mendakwa, jumlah perbelanjaan melebihi peruntukan bagi tempoh tiga tahun itu mencecah RM2.1 bilion dan menggesa penjelasan serta tindakan berhubung perkara berkenaan.
Semalam, Lim sekali lagi menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu, termasuk terhadap timbalan perdana menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Zahid Hamidi.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.