Peruntukan belanjawan perlu tampung kekurangan pelaburan dalam pertahanan, kata penganalisis

Peruntukan RM7.1 bilion dalam belanjawan negara bagi peralatan pertahanan dan keselamatan harus digunakan untuk menangani masalah kekurangan pelaburan dalam angkatan tentera selama bertahun-tahun, kata seorang penganalisis pertahanan.
Izzah Khairina Ibrahim dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia berkata perbelanjaan pertahanan dikekalkan pada kira-kira 1% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, walaupun peralatan telah melebihi jangka hayat perkhidmatannya.

Beliau berkata aset ketenteraan mungkin tidak seimbang untuk berdepan ancaman yang merangkumi cabaran keselamatan bukan tradisional, paksaan zon kelabu, ancaman asimetri dan hibrid serta peperangan berteknologi tinggi.
“Walaupun terdapat kemajuan secara beransur-ansur, pemodenan masih perlahan, dengan perbelanjaan pembangunan merangkumi hanya 34% daripada jumlah peruntukan tahun ini, berbanding 65.7% bagi perbelanjaan operasi,” katanya kepada FMT.
Belanjawan 2027 memperuntukkan RM22 bilion masing-masing kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), iaitu peningkatan 1.2% berbanding peruntukan 2026.
Beliau berkata peruntukan besar kepada Kementerian Pertahanan dan KDN mencerminkan pendekatan yang berhati-hati dan pragmatik terhadap keselamatan negara, memandangkan Malaysia mengakui bahawa keselamatan dan ketenteraman awam tidak dapat dikekalkan melalui kekuatan ketenteraan semata-mata.
Bagaimanapun, pelaburan berterusan diperlukan bagi sektor awam dan ketenteraan, keupayaan pertahanan siber dan elektromagnetik, serta sistem komunikasi dan penyelarasan yang selamat dan bersepadu.

Lam Choong Wah dari Universiti Malaya berkata angkatan tentera memerlukan dana itu untuk melaksanakan rancangan pemodenan utama, termasuk bagi tentera laut dan tentera udara.
Lam berkata Kementerian Pertahanan sepatutnya menerima peruntukan lebih besar berbanding KDN berikutan kos operasi dan perolehan. Bagaimanapun, dengan tumpuan utama kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup, sektor lain seperti pertahanan terpaksa mengalah.

Felo kanan di Global Peace Institute, Mizan Aslam mengalu-alukan peningkatan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan sejak lima tahun lalu. Peningkatan itu diperlukan memandangkan isu pertikaian wilayah di Laut China Selatan dan ketegangan di Timur Tengah.
“Kita memerlukan lebih banyak aset dan sistem yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan yang sedang berlaku di dunia sekarang,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.