PAS sukar tembusi Sarawak, pengaruh PBB masih kukuh, kata penganalisis

PAS dijangka terus berdepan laluan sukar meluaskan pengaruhnya di Sarawak kerana sokongan kukuh masyarakat Melayu-Melanau Islam terhadap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), selain sentimen memihak kepada semangat tempatan, kata penganalisis.
Felo Akademi Sains Malaysia Jayum Jawan berkata masyarakat Melayu-Melanau Islam tidak mempunyai alasan kukuh beralih kepada PAS kerana kepentingan mereka sudah lama diwakili PBB.
“Setakat ini, tiada sebab Melayu-Melanau-Muslim memilih parti lain kerana kepentingan mereka terjaga oleh PBB dan kepimpinan Melayu-Melanau selama enam dekad, sejak 1970,” katanya kepada FMT.
Jayum mengulas hasrat PAS bertanding di empat kerusi pada PRN Sarawak akan datang, termasuk Samariang, Sebuyau dan Beting Maro, susulan kejayaannya memperoleh kerusi DUN sulung di Sabah pada November tahun lalu.
Pesuruhjaya PAS Sarawak Arifiriazul Paijo sebelum ini berkata kepimpinan negeri sudah mengemukakan cadangan itu untuk dimuktamadkan di peringkat pusat.
Menurutnya, PAS Sarawak turut mempertimbangkan satu lagi kerusi sama ada dalam kawasan Parlimen Bintulu atau Sibuti, yang akan diumumkan kemudian.
Mengulas peluang PAS, Jayum berkata kejayaan parti itu di Sabah tidak semestinya dapat diulangi di Sarawak kerana landskap politik kedua-dua negeri berbeza.
Beliau merujuk kepada kemenangan Pesuruhjaya PAS Sabah Aliakbar Gulasan menang DUN Karambunai pada PRN Sabah 2025.
“Masyarakat bukan Melayu yang membentuk kira-kira 70% penduduk Sarawak juga kurang selesa dengan arah dan fokus politik PAS,” kata Jayum.
Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata sentimen ‘Sarawak First’ dan kecenderungan mengutamakan parti tempatan menjadi antara cabaran utama PAS untuk bertapak di negeri itu.
Menurutnya, rakyat Sarawak mempunyai kesedaran tinggi mengenai peranan parti tempatan, khususnya dalam memperjuangkan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya memartabatkan naratif bahawa hanya parti tempatan memahami dan berhak menjaga hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Lee berkata GPS turut mempunyai kelebihan menerusi jentera pilihan raya yang kukuh, sumber kewangan besar serta rekod pembangunan luar bandar, termasuk melalui PBB di kawasan majoriti Bumiputera Islam.
“Trend masa kini menyaksikan kebangkitan dan kecenderungan terhadap parti tempatan. Parti nasional yang telah sekian lama bertapak di Sarawak dan Sabah berdepan laluan sukar untuk mempertahankan kerusi mereka.
“Kenyataan kontroversi beberapa pemimpin PAS di Semenanjung sebelum ini juga berpotensi mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat Sarawak yang majoritinya bukan Islam, walaupun parti itu bercadang bertanding di kawasan majoriti Muslim,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.