Pasukan SMART akan pulang, serah dron kepada penyelamat Nepal

Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dijangka pulang hari ini atau esok selepas menyertai operasi mengesan 55 rakyat Malaysia masih hilang dalam banjir dahsyat di Nepal.
Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan, berkata semua dron yang dibawa dari Malaysia akan diserahkan kepada pasukan penyelamat Nepal bagi membantu usaha pencarian masih dijalankan.
Jelasnya, pihak berkuasa Nepal tidak berhasrat mengumumkan penamatan operasi mencari dan menyelamat kerana kira-kira 5,000 orang belum dapat dikesan.
Beliau berkata, tiada perkembangan atau petunjuk 55 rakyat Malaysia masih hilang di Nepal setakat ini.
“Lokasi terakhir telefon mereka dikesan berada di kawasan terjejas teruk akibat bencana itu,” katanya ketika melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung Umno 2026.
Beliau mengulas perkembangan operasi pasukan SMART bagi mencari 55 rakyat Malaysia masih hilang dalam banjir dahsyat di Nepal.
Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan Kedutaan Malaysia di Kathmandu sedang berunding dengan Kementerian Luar dan Kementerian Undang-undang Nepal bagi mendapatkan kepastian status kehilangan 55 rakyat Malaysia untuk waris mendapatkan dokumen diperlukan, khasnya bagi urusan insurans dan tuntutan lain.
Menurutnya, undang-undang Nepal menetapkan sijil kematian individu hilang hanya boleh dikeluarkan selepas tiga tahun berbanding tujuh tahun di Malaysia.
Jelasnya, Putrajaya juga sedang berusaha mendapatkan kerjasama Nepal bagi membolehkan sampel DNA mangsa ditemui dihantar ke Kuala Lumpur untuk proses padanan sampel waris rakyat Malaysia yang hilang.
Katanya, Nepal berdepan kekurangan kemudahan dan peralatan bagi menjalankan proses pemadanan DNA.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.