Isu Tabung Haji tak cukup tekan Umno berubah, kata penganalisis

Isu salah urus Lembaga Tabung Haji (TH) dijangka tidak memberi kesan besar kepada undi Melayu, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap Umno untuk membuktikan parti itu sudah berubah menjelang PRN Melaka, kata penganalisis.

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, Umno sepatutnya menjawab persoalan mengenai kelemahan pengurusan TH, namun tuntutan akauntabiliti tidak semestinya mempengaruhi pilihan pengundi.
“Pada tahap ini, Umno nampaknya tidak begitu mengambil berat untuk menampilkan dirinya sebagai parti yang sudah berubah, terutama ketika sokongan kelihatan beransur kembali,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, jurang antara prinsip dan tindakan boleh menjejaskan kepercayaan pengundi, tetapi tidak menjangkakan isu itu memberi kesan besar kepada PRN Melaka atau PRU16.
“Isu ini nampaknya tidak begitu penting dalam perbincangan politik sekarang. Malangnya, ia dilayan seperti salah satu daripada banyak skandal yang pernah kita hadapi,” katanya.
Beliau berkata, tindakan terhadap individu mungkin memadai dari sudut politik, sedangkan penyelesaian menyeluruh memerlukan penelitian terhadap kelemahan sistem dan kegagalan pengawasan yang membolehkan masalah berlaku.
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, yang didedahkan pada 29 Julai, mengenal pasti kelemahan tadbir urus serta campur tangan politik dalam pengurusan dan agihan keuntungan institusi itu.
Dalam wawancara dilaporkan pada 25 Okt, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menzahirkan kekecewaan terhadap salah urus TH, sambil menegaskan dana bagi tujuan keagamaan mesti diurus dengan akauntabiliti dan tanggungjawab.

Sementara itu, Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata belum terdapat bukti tinjauan khusus yang mencukupi untuk mengukur kesan isu tersebut terhadap pengundi di Melaka atau peringkat nasional.
Katanya, pengundi turut menilai prestasi ekonomi, kepimpinan dan pembangunan setempat, namun Umno tetap bertanggungjawab menjelaskan kelemahan pengawasan, pelantikan dan perlindungan institusi.
“Mengakui kelemahan tadbir urus terdahulu tidak bermakna menerima kesalahan secara kolektif. Tanggungjawab politik perlu dibezakan daripada liabiliti jenayah,” katanya.
Katanya, pembaharuan perlu dibuktikan melalui pelantikan profesional, pengawasan bebas dan pelaporan kewangan telus, bukan sekadar pengisytiharan parti sudah berubah.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri daripada Global Asia Consulting pula berkata, kesan salah urus TH tidak semudah kenaikan harga barang untuk dirasai secara langsung, manakala identiti, kesetiaan parti dan kepentingan setempat turut mempengaruhi pilihan pengundi.
Katanya, kerajaan semasa juga perlu membuktikan pembaikan melalui pemulihan aset, ketelusan kewangan dan tindakan terhadap pihak bertanggungjawab, bukan sekadar menyalahkan pentadbiran terdahulu.
“Bagi saya, ujian sebenar Umno bukan sama ada rakyat sudah melupakan skandal lama, tetapi sama ada Umno berani membersihkan rumahnya sendiri walaupun rakyat tidak lagi menuntutnya,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.